Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bayi 9 bulan antara korban kemalangan dekat Sg Buloh
Diterbitkan:  Jan 10, 2020 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Tiga wanita dan seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh, sejurus selepas 12 tengah malam tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Asiah Mat, 74, anaknya Ruzi Osman, 54, menantu Ruzi iaitu Ain Fazira Mohd Yazid, 25, dan anak Ain Fazira, Nur Tiara Arisha Mohamad Taslim, sembilan bulan.

Suami Ain Fazira, Mohamad Taslim Jamsari, 31, cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar memberitahu Bernama bahawa kemalangan melibatkan kereta Proton Satria dan Mitsubishi ASX dalam perjalanan ke utara.

Beliau berkata Proton Satria yang dinaiki kesemua mangsa dikatakan berhenti di atas jalan dipercayai akibat kerosakan sebelum kenderaan Mitsubishi itu, yang datang dari arah sama, tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang Proton Satria.

“Rempuhan menyebabkan Proton Satria yang dinaiki kesemua mangsa itu berpusing sehingga menyebabkan ada mangsa terpelanting keluar,” kata Shafa'aton.

Beliau berkata Asiah dan Ain Fazira meninggal dunia di tempat kejadian manakala Ruzi dan bayi perempuan itu meninggal semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Mangsa yang maut dan cedera dibawa ke hospital berkenaan.

"Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan mengesan saksi," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS