Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin panjat rasa syukur pada Allah
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 6:00 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menyuarakan kesyukurannya susulan keputusan Pejabat Peguam Negara berkenaan kes video intim kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Azmin berkata sejak dari awal beliau konsisten mengatakan video tersebut adalah komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan tidak pernah ragu bahawa keadilan akan ditegakkan.

"Saya sudah membaca kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas berkenaan video fitnah terhadap saya...Segala puji bagi Allah kerana membolehkan kebenaran mengatasi kejahatan dan walaupun saya dibersihkan sepenuhnya, saya berdoa tiada lagi yang akan menghadapi politik keji seperti ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada keluarganya kerana sentiasa mempercayai dan menyokongnya dalam menghadapi perkara itu.

"Saya juga amat berterima kasih kepada sokongan yang kuat dan konsisten daripada rakan dan orang awam, saya mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya," katanya lagi.

Peguam Negara Tommy Thomas hari ini berkata tiada pertuduhan yang akan dibuat dalam kes video intim kontroversi, yang dipercayai merujuk kepada video yang mengaitkan Azmin dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Tommy Thomas

Thomas dalam kenyataan berkata, ini kerana pakar forensik AS "gagal" mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

"Laporan yang bebas (oleh pakar forensik Amerika Syarikat) ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, 'kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas," katanya.

Thomas bagaimanapun berkata selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperolehi.

Dalam pada itu, Azmin menggesa semua pihak agar menghentikan "politik fitnah, pembunuhan karakter dan kempen tohmah" dalam politik.

"Sebaliknya melakukan wacana membina berkenaan isu, idea, kebaikan rakyat dan pembinaan negara," katanya lagi.

Rakaman video itu - didakwa dirakam di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei 2019 - tersebar pada 11 Jun lalu menerusi beberapa kumpulan Whatsapp yang disertai petugas media.

Sehari kemudian, Haziq mengaku dirinya sebagai orang yang dirakam dalam video itu dan mendakwa Azmin adalah individu yang bersamanya.

Azmin bagaimanapun konsisten menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS