Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kan bagus kalau menteri sama-sama bela Jawi juga, kata Rozaimi
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 5:08 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Selepas hampir 10 orang menteri beramai-ramai hadir di sebuah sekolah ekoran kontroversi hiasan sempena kedatangan Tahun Baru Cina, seorang pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) berpendapat, sikap yang sama wajar ditunjukkan dalam isu tulisan Jawi.

Menurut Dr Rozaimi Ramle, beliau mengharapkan semangat sebegitu dapat ditunjukkan oleh menteri kabinet, terutamanya dalam kalangan bukan Melayu semasa mempertahankan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Menulis di media sosial hari ini, Rozaimi berkata jika menteri terbabit mengambil tindakan sedemikian, maka tidak timbul sangkaan sikap berat sebelah diambil oleh mereka dalam meraikan sesuatu budaya.

"Saya mengharapkan, alangkah baiknya jika dalam isu Jawi yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan, menteri - terutama yang bukan Melayu - berganding bahu mempertahankannya seperti mereka berganding bahu turun ke sekolah yang mempunyai dekorasi Cina," katanya.

Semalam, tujuh menteri dan seorang timbalan perdana menteri melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 di Puchong petang selepas ia menjadi buah mulut warganet.

Puncanya, ada pihak memainkan isu kononnya hiasan yang dibuat bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina dikaitkan dengan agama.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengetuai lawatan itu memberitahu bahawa kehadiran mereka ke sekolah itu adalah untuk menunjukkan bahawa kerajaan serius mahu mempertahankan perpaduan di negara ini.


Baca Nam Ron khuatir menteri bangang ganti Maszlee


Selain Wan Azizah, turut hadir ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof; dan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dan ia bersifat pilihan. Hanya tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut.

Bagaimanapun ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak, termasuk kumpulan Dong Zong dan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat).

Kemelut itu juga didakwa menyebabkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, dinasihatkan supaya melepaskan jawatannya.

Kata Rozaimi jika semua menteri - tanpa mengira kaum - bersama-sama mempertahankan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, barulah orang ramai yakin kerajaan tidak bersikap dwistandard semasa meraikan budaya.

"Rakyat melihat gelagat anda wahai orang politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS