Penyokong tegar Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan mencabar Anwar Ibrahim menyaman malu Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadap presiden PKR itu.
Khairuddin juga menggesa Anwar yang merupakan ahli parlimen Port Dickson melakukan ujian poligraf bagi membuktikan beliau tidak berbohong dengan penafiannya itu sebelum ini.
“Sekiranya tidak benar, apakah senang bagi saudara Yusoff Rawther hendak buat tuduhan secara sumpah berkanun (SD) serta terbuka terhadap ‘orang besar dan berpenyakit’ seperti Anwar Ibrahim.
“Andai kata itu fitnah, Anwar Ibrahim harus saman malu terhadap saudara Yusoff Rawther atau Anwar Ibrahim sendiri harus buat laporan polis," katanya.
Kenyataan Khairuddin itu dibuat selepas Anwar semalam menyatakan bahawa tiada sebarang keperluan baginya untuk melakukan ujian poligraf memandangkan setakat ini beliau tidak ada menerima sebarang arahan daripada polis untuk berbuat demikian.
“Seperkara lagi saya ingin cabar Anwar Ibrahim untuk dedahkan siapakah dalang-dalang yang terlibat sepertimana beliau tuduh?
“Jangan cakap putar belit! Namakan saja siapakah yang kononnya terlibat di belakang kes saudara Yusoff Rawther?” kata Khairuddin lagi.
Untuk rekod, Yusoff sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Dis tahun lalu.
Peguam Yusoff, Haniff Khatri Abdulla, berkata mereka berpuas hati dengan ujian tersebut dan berharap ia dapat membantu siasatan polis.
Seorang pemimpin PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, kemudian mencadangkan agar Anwar turut menjalani ujian poligraf.