Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Audio didedah SPRM tak jejas kempen BN di Kimanis - Zahid

PRK KIMANIS | Pendedahan audio didakwa rakaman perbualan Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diyakini tidak akan jejaskan kempen BN.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau yakin pengundi Kimanis mampu menilai dan membuat keputusan bijak.

"Saya tidak nampak pengundi-pengundi di Kimanis terganggu dengan pendedahan kononnya terhadap bahan-bahan siasatan yang dibuat oleh badan penguatkuasa.

"Saya fikir mana-mana badan penguatkuasaan harus berpijak dalam bidang tugas masing-masing dan jangan dijadikan alat politik, terutamanya bagi mengalihkan isu dalam mana-mana PRK atau pilihan raya yang diadakan.

"Bagi saya pengundi di Kimanis bijak untuk menilai dan isu-isu tidak menjejaskan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada calon BN," katanya ketika ditemui selepas ceramah perdana Dun Bongawan, malam tadi.

Hadir sama, bekas anggota Parlimen Kimanis, Anifah Aman, dan Pengerusi BN Sabah Bung Mokhtar Radin.

SPRM semalam dalam satu sidang media mendedahkan sembilan set rakaman audio yang antara lain memaparkan perbualan beberapa tokoh berprofil tinggi, termasuk Najib; isteri beliau, Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad; dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Perkara itu dedahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Rakaman berkenaan yang diterima SPRM daripada sumber tidak dikenali dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Janji buat walau ada kekangan

Najib yang ditemui wartawan di mahkamah selepas pendedahan dibuat SPRM itu memaklumkan yang beliau terkejut dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu Zahid yang mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal bahawa bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein juga seorang yang gagal ketika menjadi menteri luar bandar.

Zahid berkata, soal politik yang harus diselesaikan secara politik dan sumbangan pemimpin yang sudah tiada tidak seharusnya diungkit lagi.

"Mana-mana pandangan terhadap orang yang telah mengasaskan kementerian ini yang telah mengadakan perkara sesuai dengan zamannya tidak perlu diungkit atau dibangkitkan, kita hargailah jasa beliau semasa menjadi menteri luar bandar," katanya.

Shafie ketika berkempen di Kimanis menegaskan, sekiranya beliau gagal membangunkan Sabah menjadi menteri pusat, hal itu bermakna Abdul Razak - yang juga bapa kepada Najib - turut gagal sebagai menteri luar bandar.

Sementara itu, dalam ucapannya Zahid berkata BN berjanji akan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya kembali menguasai Putrajaya.

Zahid di hadapan pengundi BN turut bersumpah akan melaksanakan janji itu meskipun berdepan kekangan.

"Saya tahu ada kekangan, tapi tiada kekangan yang tak boleh dirungkai. Kalau kita ambik semula Putrajaya saya janji, wallahi, wabillahi, watallahi..." katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS