Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan terus memberi subsidi petrol walaupun harga minyak dunia naik secara mendadak akibat ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.
"Bagi setiap kenaikan harga minyak sebanyak AS$1, Petronas akan memperoleh tambahan RM300 juta, tetapi yang akan mendapat manfaat adalah Petronas.
"Kerajaan tidak akan mendapat faedah. Kerajaan perlu membayar subsidi petrol yang lebih tinggi.
"Sudah tentu kita bersedia (untuk membayar subsidi petrol lebih tinggi)," kata Lim pada sidang akhbar di bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kuala Lumpur hari ini.
Harga minyak mentah Brent naik menjadi AS$70 setong pagi ini, selepas dilaporkan bahawa Iran telah melancarkan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Iraq.
Serangan itu susulan serangan udara AS minggu lalu yang mengakibatkan komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani terbunuh.
Lim berkata ketika ini, kerajaan meletakkan harga minyak pada kadar purata AS$62 (RM254) setong dan bersedia jika perlu membayar subsidi yang lebih tinggi jika harga minyak meningkat.
Katanya, kerajaan akan memantau perkembangan terkini krisis berkenaan dan ketika ini, masih terlalu awal untuk merumuskan langkah susulan.
“Kerajaan memberi perhatian kepada kestabilan dan sama ada ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, namun terlalu awal untuk kita maklumkan.
“Ketika ini, kita masih mampu menguruskannya. Kita akan tunggu dan lihat serta berharap kedua-dua negara akan mencapai penyelesaian dan tidak sehingga berperang,” katanya.
Menurut Lim, kerajaan juga mempunyai pelan kecemasan jika krisis antara kedua-dua negara itu bertambah buruk.
"Ramai mengatakan kenaikan harga minyak ini tidak akan berkekalan.
"Setakat ini, AS tidak bertindakbalas, jadi jika konflik itu berakhir, saya rasa harga minyak akan kembali (kepada harga sebelum ini)," katanya.
Sekarang, katanya, perkembangan masih belum jelas kerana ia hanya sehari sejak serangan peluru berpandu tersebut.
"Kamu perlu tunggu hingga esok, perkembangan adalah dari sehari ke sehari,” katanya.
Ketika ini, RON95 adalah RM2.08 seliter, RON97 adalah RM2.65 seliter manakala diesel adalah RM2.18 seliter.