Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anifah, pemimpin pembangkang dijangka sertai himpunan bantah PSS
Diterbitkan:  Jan 8, 2020 10:05 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Dua NGO yang berpangkalan di Sabah akan mengadakan bantahan terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) di Pekan Membakut, tiga hari sebelum pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Protes itu dijangka dihadiri Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee dan bekas ahli parlimen Kimanis Anifah Aman pada 15 Januari, lapor Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Kira-kira separuh daripada daerah Membakut berada di bawah kerusi Parlimen Kimanis.

Protes yang digelar "Perhimpunan Solidariti untuk Menolak PSS" dianjurkan oleh Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (Pipa) dan Solidariti Rakyat Sabah (Sorak).

Protes itu dianjurkan berikutan permintaan daripada masyarakat setempat, kata Pengerusi Sorak, Jamain Sarudin.

Peserta protes akan berpakaian hitam dan berkumpul pukul 9.30 pagi pada 15 Jan.

"Pelaksanaan PSS ditentang oleh pelbagai organisasi dan individu kerana ia hanya akan memburukkan lagi masalah pendatang di Sabah, bukan menyelesaikannya.

"Kerajaan persekutuan perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan undang-undang imigresen dan bukannya membuat permit bagi pendatang untuk terus tinggal di Sabah," kata Jamain.

PSS, katanya, akan menggalakkan warga asing, terutamanya dari selatan Filipina, memasuki negara ini secara haram.

PSS akan dikeluarkan untuk menggantikan sijil IMM13, Kad Burung-Burung dan Banci, yang kini dipegang oleh sejumlah 136,055 pendatang di Sabah.

PSS akan dikeluarkan dari 1 Jun dan ia boleh diperbaharui setiap tiga tahun, dengan bayaran sebanyak RM120.

Isu berkenaan menjadi topik hangat yang dibangkitkan oleh BN dan Umno dalam kempen PRK Kimanis di kawasan separa bandar.

PRK kali ini akan menyaksikan pertembungan antara calon Mohamad Alamin yang mewakili BN dan Karim Bujang dari Warisan.

Kedua-dua calon pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Bongawan, yang terletak di bawah kawasan pilihan raya Kimanis.

Karim, 67 pernah menjadi Adun Bongawan selama lima tahun di bawah platform Usno dan Umno, dari 1990 hingga 2013. Beliau menyertai Warisan tahun lepas.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi pada pilihan raya umum ke-14.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Anifah tidak sah.

Mohamad, yang dikenali sebagai Toh Moh, adalah seorang peguam di Kota Kinabalu yang berumur 48 tahun.

Mohamad menggantikan Karim sebagai Adun Bongawan pada 2013 tetapi gagal mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum 2018.

Kimanis adalah kerusi separa bandar yang mempunyai 29,644 pengundi berdaftar, dengan 63.16 peratus daripadanya bumiputera Islam, manakala 30.67 peratus bumiputra bukan Islam, 3.59 peratus Cina dan 2.58 peratus lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS