Dr Maszlee Malik mengibaratkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan, seperti kisah dalam hikayat lama pahlawan Melayu, Hang Tuah yang dihukum Sultan Melaka.
Dalam satu video yang disunting pendek dan dimuat naik di media sosial dan di You Tube, Maszlee berkata, beliau kini mengerti perasaan Hang Tuah ketika menerima hukuman.
“Saya waktu terima surat Tun minta saya letak jawatan, waktu itu saya kata: Eh, baru aku faham perasaan Hang Tuah.
“Maksudnya, Hang Tuah tak lihat apa yang berlaku itu, dia lihat selama ini raja bagi dia peluang banyak.
“Kalau raja tak bagi dia peluang, dia tak ada peluang hendak pertahankan Melaka, nak lawan lanun, nak berjasa, kan?” katanya.
Menurut hikayat, Hang Tuah dihukum bunuh oleh Sultan Mansur Shah atas tuduhan bermukah dengan dayang Sultan, namun bendahara Melaka menyelamatkannya secara senyap-senyap dan dihantar ke hulu negeri itu untuk bersembunyi.
Hukuman itu menyebabkan temannya, Hang Jebat (atau Hang Kasturi menurut hikayat lain, Sejarah Melayu) memberontak dan mengamuk di Istana Melaka, sehingga menyebabkan Sultan kesal atas hukumannya.
Bendahara kemudian memanggil Hang Tuah balik daripada persembunyiannya, sebelum diampunkan sultan dan kemudiannya bertarung dan membunuh Hang Jebat (atau Kasturi).
Maszlee pula, meletakkan jawatannya pada 2 Januari atas nasihat perdana menteri.
Dr Mahathir Mohamad, ketika mengulas tentang surat yang dikatakan ditulis olehnya untuk meminta Maszlee meletakkan jawatan hari ini, menyifatkan permintaannya itu bukanlah kerana Maszlee banyak melakukan kesalahan, kerana Maszlee ada juga melakukan perkara yang baik.
Bagaimanapun atas “sebab-sebab yang lain”, beliau berpendapat Maszlee perlu meletakkan jawatan.
Dalam surat yang tersebar sebelum ini, Mahathir dikatakan meminta Maszlee berundur kerana gagal mematuhi arahan kabinet dan sering meletakkan Putrajaya dalam kedudukan yang sukar.
Dalam video itu juga, Maszlee turut mengimbau bagaimana Hang Tuah juga hanya mengikut arahan raja ketika dihukum, sebelum diselamatkan bendahara.
“Sampai waktu, bila berlaku Jebat mengamuk, raja kata, eh kalau ada Hang Tuah. Bendahara cari Hang Tuah,” katanya lagi.
Video itu hanya memaparkan petikan pendek daripada perbualan Maszlee dengan sekumpulan orang di meja makan, dan disunting sehingga menjadi 58 saat sahaja.