Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia berdepan pihak yang mengambil tindakan undang-undang terhadap kompaun yang dikeluarkan ke atas individu yang didakwa menerima dana berkaitan 1MDB daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengesahkan badan antirasuah itu dinamakan sebagai responden dalam beberapa permohonan semakan kehakiman yang difailkan beberapa individu daripada sejumlah 80 individu dan entiti yang dikatakan menerima wang berkenaan.

“Perkara kompaun sememangnya, bila kita (SPRM) beri peluang untuk membayar denda dan jika tidak berbuat demikian, kita perlu ambil tindakan,” kata Latheefa kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

“Sewaktu kami berbuat demikian, SPRM telah menerima satu permohonan mahkamah yang mencabar hak SPRM dalam pengeluaran kompaun tersebut.

“Itu sememangnya, kita akan lawan. Ini di bawah Jabatan Peguam Negara dan sekarang dalam peringkat permohonan. Kami adalah responden.

“Peguam Negara akan cabar fakta tersebut. Bolehkah kalau kita cabar seseorang yang mengeluarkan kompaun?” jelas Latheefa.

Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad dan bekas Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan adalah antara mereka yang telah memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan terhadap notis yang dikeluarkan oleh SPRM bagi mendapatkan semula dana yang didakwa diterima mereka daripada 1MDB, lapor The Edge.

Laporan itu juga menyatakan bahawa permohonan sama telah difailkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Sumaili Reduan; Jawatankuasa Perhubungan Umno Pulau Pinang, serta bahagian Umno di Batu, Labis, Indera Mahkota dan Taiping.

Permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dilaporkan bermula hari ini di hadapan Hakim Nordin Hassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Latheefa, dalam satu temu bual bersama Berita Harian pada 31 Disember tahun lalu, dilaporkan sebagai berkata bahawa SPRM bakal segera mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu atau entiti yang enggan memulangkan dana yang mereka didakwa diterima daripada 1MDB.

Ditanya berkenaan perkara tersebut, Latheefa enggan mendedahkan butiran lanjut, melainkan menjelaskan bahawa tindakan awal yang bakal dikenakan adalah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla).

"Tidak (kenakan tindakan) minggu ini ... (tapi) dalam masa terdekat," kata Latheefa.

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM masih belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang sedang berlangsung.

"Buat masa sekarang tidak ada laporan," katanya menambah SPRM Sabah sedang memantau secara dekat kempen yang sedang dijalankan oleh BN dan Warisan, yang kini sudah memasuki hari kedua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS