Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN dakwa Warisan langgar peraturan ketika kempen

PRK KIMANIS | BN akan membuat laporan polis terhadap apa yang didakwa sebagai pelanggaran Akta Pilihan Raya oleh parti kerajaan ketika kempen yang membuka tirainya semalam.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata beliau akan meminta bilik gerakan BN untuk membuat laporan berhubung salah laku itu.

Katanya, ia berkaitan dengan cabutan bertuah berupa sebuah motosikal dan barangan lain pada sambutan Krismas yang diadakan di Pekan Membakut ketika kempen PRK Kimanis bermula.

"Ini jelas kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya. Ini adalah salah kerana PRK sedang berlangsung di Parlimen Kimanis tapi mungkin kerana mereka tahu tidak akan ada tindakan maka perkara sebegini berleluasa.

"Bagi mereka itu semua halal kerana mereka berasakan mereka above the law (mengatasi undang-undang).

"Sebab itu banyak orang didakwa tapi dalam proses pendakwaan pun kes boleh dibuang begitu sahaja, yang sedang dibicarakan pun boleh lepas," katanya ketika ditemui di Kimanis malam tadi.

Program sambutan Krismas itu dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal petang semalam.

Sebuah pertubuhan dikenali sebagai Masyarakat KDM Membakut menjadi penganjurnya.

Menurut tentatif program, pembahagian hadiah cabutan bertuah semenangnya terkandung dalam program berkenaan yang berakhir sebelah malam.

PRK parlimen Kimanis membuka tirainya semalam dengan menyasikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohamad Alamin, dan calon Warisan, Karim Bujang.

Mohamad dipertaruhkan BN bagi mempertahankan kerusi Kimanis yang juga kubu kuat Umno.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS