Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karim janji perjuang pemilikan tanah untuk kakitangan estet

PRK KIMANIS | Calon parti Warisan Karim Bujang berjanji akan memperjuangkan pemilikan tanah kepada kakitangan estet yang masih belum memiliki tapak rumah.

Beliau yakin usahanya untuk mendapatkan tanah berkenaan akan mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

"Estet ini mempunyai banyak sejarah, saya minta dikeluarkan beberapa hektar untuk tapak rumah kepada kakitangan estet yang tidak mempunyai tapak rumah.

"Dengan CM (ketua menteri) yang ada ini kita boleh minta sedikit lagi. Saya yakin CM akan beri perhatian.

"Kasihan mereka ini, ada yang lahir dalam estet, (tapi) bila pencen mereka tidak ada tapak rumah pun," katanya ketika ditemui di Kampung Rancangan, Kimanis di Sabah petang tadi.

Karim turun padang bertemu penduduk yang tinggal di kawasan estet di Kampung Kurnia bersama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Karim dipertaruhkan Warisan bagi merampas kerusi Parlimen Kimanis yang selama ini menjadi kubu kuat BN.

BN pula mempertaruhkan Mohamad Alamin sebagai calon bagi mempertahankan kerusi itu yang dimenangi Anifah Aman sebelum ini.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Sementara itu, Karim berkata, ketika ini adalah masa terbaik untuk kerajaan negeri Sabah mengurniakan tanah kepada kakitangan estet yang masih belum memilikinya.

Selain itu, Karim juga meminta kerajaan membina sebuah stadium mini di Bongawan seperti yang dijanjikan menteri bertanggungjawab sebelum ini.

Jelasnya, meskipun perkara itu dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini, ia tidak menjadi masalah jika ia diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kalau ada ehsan, bahawa suatu ketika dulu perdana menteri (ketika pemerintahan BN) dan menteri (ketika itu) menjanjikan stadium mini untuk Bongawan.

"Tapi sehingga kini tak nampak dan kerajaan sudah pun bertukar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS