Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Isu peralihan kuasa baik dibincang dalam Majlis Presiden PH

Isu berhubung penetapan tarikh peralihan kuasa dibuat antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sepatutnya dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Pemuda PH, berkata perkara itu seharusnya dibincangkan secara bersama dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya mewakili Pemuda PH, perkara ini sepatutnya baik dibincangkan dalam Majlis Presiden PH di mana saya salah seorang ahli.

"Di situ kita bincang dalam salah satu muafakat sama seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini kita semua bersama bersatu hati," katanya ketika ditemui di Kimanis, Sabah petang tadi.

Sebelum itu, Syed Saddiq meluangkan masa bermain bola sepak dengan pasukan Pemuda PH di padang bola sepak Kampung Rancangan Kimanis.

Turut serta, calon parti Warisan Karim Bujang.

Sebelum itu, Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir menggesa Sekretariat PH memastikan Majlis Presiden gabungan itu menetapkan tarikh pada Mei tahun ini berhubung peralihan kuasa jawatan perdana menteri.

Akmal berkata beliau menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah bahawa gabungan itu perlu menumpukan isu mengenai manifesto pilihan raya.

Namun, katanya, persetujuan agar peralihan kuasa berlaku dalam tempoh dua tahun sejak PH menjadi kerajaan pada Mei 2018 perlu diperincikan.

"Saya percaya penetapan tarikh peralihan kuasa akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam PH dan seterusnya mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.

"Maka saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan jawatan perdana menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda PH," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata adalah lebih penting untuk pemimpin parti itu memastikan muafakat politik yang dibina selama ini bagi membangunkan negara.

"Jadi lebih baik kita fokus, kita pastikan muafakat politik ini yang mana kita semua bersatu tak kira bangsa dan agama bagi memastikan pembangunan Malaysia," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS