Sejumlah pekerja warga Nepal yang terkesan dengan penggantungan operasi syarikat sarung tangan, WRP Asia, beberapa bulan lalu dijangka dihantar pulang ke negara asal mereka dalam masa sembilan hari, menurut sumber.
Sejak tahun lalu, syarikat itu menjadi perhatian setelah sarung tangan keluarannya disekat agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat atas dakwaan mengamalkan buruh paksa.
Dalam perkembangan terbaru, Malaysiakini melihat dokumen daripada pentadbiran syarikat dengan senarai 57 pekerja yang dijangka tamat permit kerja akhir bulan ini.
Dokumen itu, yang dihantar kepada ketua-ketua bahagian, juga menyatakan tarikh akhir kerja, tarikh penghantaran kad pekerja, dan tarikh penerbangan ke Kathmandu, Nepal.
Menurut dokumen itu, tiket penerbangan untuk 57 pekerja telah ditempah pada enam, lapan dan 13 Januari.
Sumber memberitahu Malaysia bahawa arahan penghantaran pulang itu datang daripada penyelesai (liquidator) interim yang dilantik WRP Asia.
Malaysiakini juga melihat emel daripada penyelesai interim kepada WRP Asia, yang meminta senarai semua pekerja asing yang pada masa ini bekerja dengan syarikat itu.
Khamis lalu, dilaporkan suntikan tergempar pemegang saham berjumlah RM3.25 juta disalurkan kepada penyelesai untuk membolehkan syarikat itu membuat bayaran kepada pekerja.
Ia didanai syarikat dana ekuiti persendirian TAEL Partners, kata lembaga pengarah WRP dalam kenyataan yang dikeluarkan firma guaman yang mewakili mereka, Thomas Philip Advocates and Solicitors.
Sumber bagaimanapun mendakwa dana itu tidak boleh digunakan untuk membayar pekerja asing, yang didakwa di bawah senarai gaji sebuah syarikat lain yang bernaung di bawah syarikat induk sama dengan WRP.
Sumber berkata, dana yang disuntik itu untuk kegunaan WRP sahaja, membangktikan kebiimbangan sama ada masih ada tunggakan gaji untuk pekerja yang bakal dihantar pulang.
Menurut Akta Syarikat 1965, penyelesai yang dilantik perlu melangsaikan semua tunggakan, dengan keutamaan kepada gaji yang belum dibayar.
Menegaskan pihaknya menjadi mangsa khabar angin pasaran yang "tidak tepat", pengurusan WRP memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat itu mungkin menyambung operasi bulan ini.
Pada Januari 2018, hampir 2,000 pekerja warga Nepal syarikat itu membuat mogok tiga hari berhubung isu tunggakan gaji.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia mendapati WRP menahan gaji dan bayaran lebih masa, membuat potongan gaji yang tidak adil dan mengenakan masa bekerja yang salah ketika hari cuti dan cuti umum.
Peguam lembaga pengarah WRP juga menyalahkan bekas CEO Lee Hon Seng atas "salah pengurusan".
Menurut mereka, Lee dibuang pada 29 November 2019, dan firma guaman Thomas Philip dilantik untuk melaksanakan due diligence.
Lembaga pengarah juga memfailkan tindakan atas Lee atas dakwaan pecah amanah jenayah melibatkan RM8.4 juta.