Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Tiada perbincangan rombakan kabinet dengan PM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan wujudnya perbincangan dengan perdana menteri tentang kemungkinan rombakan kabinet.

Beliau berkata terdapat pertemuan biasa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tetapi isu rombakan kabinet tidak dibangkitkan.

"Saya selalu berjumpa perdana menteri tetapi persoalan tentang rombakan (kabinet) tidak dibangkitkan. Tidak ada perbincangan dalam kabinet," kata Lim, yang juga setiausaha agung DAP, di Butterworth hari ini.

"Kami sering membincangkan perkara kewangan dan isu-isu negara tetapi saya tidak boleh berkongsi perbincangan itu kerana ia sulit," tambah Lim.

"Saya mempunyai pandangan saya sendiri dan parti mempunyai pandangan tentangnya (rombakan kabinet) tetapi yang terbaik adalah untuk kita bincangkan perkara itu dalam Pakatan Harapan," tegas Lim.

Lim diminta mengulas mengenai kemungkinan rombakan kabinet berikutan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan pada Khamis.

Lim juga ditanya sama ada bekas menteri BN Mustapha Mohamad akan menyertai kabinet sekiranya berlaku rombakan.

"Saya tidak tahu siapa yang akan dilantik.

"Saya bukan perdana menteri tetapi saya yakin yang dilantik adalah dari kalangan Pakatan Harapan," kata Lim sambil menegaskan bahawa perkara itu lebih sesuai diulas oleh Dr Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS