Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CJ: Siasatan dalaman badan kehakiman digantung kerana siasatan polis

Siasatan dalaman oleh badan kehakiman berhubung akuan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Dr Hamid Sultan Abu Backer yang mengandungi dakwaan campur tangan badan kehakiman, digantung kerana siasatan polis, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata beliau tidak tahu perkembangan siasatan polis dan sama ada mereka telah mengemukakan laporan atau kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ia (siasatan dalaman) digantung kerana polis jalankan siasatan. Pihak polis datang dan menemu bual kami (hakim).

“Keputusan yang diambil pihak pengurusan atasan semasa itu (semasa tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Richard Malanjum) adalah untuk menangguhkan dulu siasatan dalaman kerana polis sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada media apabila ditanya berhubung siasatan dalaman oleh badan itu.

Ketua Hakim Negara berkata demikian semasa sesi bertemu media di pejabatnya di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo telah menulis kepadanya berhubung perkara itu.

“Saya beritahu beliau saya tidak boleh jalankan siasatan atau teruskan siasatan yang dimulakan Tan Sri Richard Malanjum kerana konflik kepentingan memandangkan saya seorang daripada tiga hakim dalam panel yang mendengar kes rayuan hasutan Karpal (di Mahkamah Rayuan).

“Saya sendiri beritahu Sangeet bahawa aduan itu berkaitan dengan kes bapanya, jadi saya tidak boleh terlibat dalam siasatan berkaitan perkara itu, dia faham,” kata Tengku Maimun.

Pada 12 Julai 2019 Sangeet memberitahu media beliau membuat permohonan rasmi kepada Tengku Maimun, yang menggantikan Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baharu, untuk menyiasat semula perkara itu.

Pada 22 Okt 2019 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan Sangeet berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan bapanya.

Pada 28 Mac 2019, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Zaharah Ibrahim, membebaskan Karpal daripada pertuduhan hasutan, memutuskan terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaannya.

Karpal Singh, seorang peguam dan ahli politik terkemuka, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Perak pada awal pagi 17 April 2014.

Sangeet seorang peguam, mempunyai firma guaman sendiri.

Berhubung isu lain, Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membuat aduan melalui saluran yang betul jika mereka mengetahui tentang salah laku kehakiman.

Beliau berkata ini adalah untuk mengelakkan badan kehakiman daripada tercemar.

“Ini kerana apabila anda memberitahu seluruh dunia, ia bukan hanya mencemarkan badan kehakiman, ia juga akan mencemarkan negara,” kata Ketua Hakim Negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS