Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ayatollah Ali Khamenei berikrar akan balas dendam terhadap Amerika
Diterbitkan:  Jan 3, 2020 3:45 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

GLOBAL l Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Jumaat berikrar akan membalas dendam di atas kematian Qasem Solaimani, komander tentera elit Kor Pengawal Revolusi Iran yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat di Iraq, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Dendam kesumat menanti penjenayah terbabit,” menurut Ayatollah Ali Khamenei dalam satu kenyataan.

"Kematian beliau tidak akan menghentikan segala usahanya, jalan yang telah dirintis beliau tidak akan disekat," katanya.

Pemimpin agung itu juga mengisytiharkan perkabungan selama tiga hari di seluruh negara.

Sementara itu, Bernama memetik agensi berita Rusia Sputnik yang memetik berita Al Jazeera yang melaporkan Menteri Pertahanan Israel Naftali Bennett telah mengadakan satu mesyuarat tergempar dengan ketua-ketua perisikan dan tentera susulan pembunuhan komander tertinggi tentera elit Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) itu.

Jabatan Pertahanan AS berkata serangan itu dilancarkan atas arahan Presiden Donald Trump dan bertujuan "menghalang rancangan serangan pada masa akan datang oleh Iran."

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS