Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Affendi Buang dilantik Panglima ATM
Diterbitkan:  Jan 2, 2020 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-21 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Affendi disaksikan sendiri oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada majlis serah terima tugas jawatan nombor satu ATM itu di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur.

Affendi menggantikan Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang bersara wajib pada hari ini.

Zulkifli, 61, merupakan anak kelahiran Port Weld (kini dikenali Kuala Sepetang), Perak, yang memulakan khidmatnya dalam ATM pada 30 Jan 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beliau dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun 2018 menggantikan Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Affendi, 57, telah berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Dis 2016.

Berdasarkan rekod, sejak 2011, jawatan Panglima ATM diisi oleh pegawai tertinggi daripada Tentera Darat. Kali terakhir jawatan itu diisi oleh TUDM ialah pada 2009 menerusi Tan Sri Azizan Ariffin manakala TLDM pada 2005 menerusi Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Turut hadir pada majlis serah terima tugas berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Affendi yang dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Kuching, Sarawak, merupakan Panglima Tentera Udara kedua dilantik sebagai Panglima ATM selepas Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau mendapat pendidikan awal di negeri kelahirannya itu, sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi sehingga memperolehi MCE pada 1979.

Selepas itu Affendi menyertai ATM sebagai Pegawai Kadet TUDM pada tahun 1980 dan menerima latihan asas di Sekolah Pegawai Kadet, Sebatang Kara, Port Dickson diikuti Latihan Asas Terbang di TUDM Alor Setar, Affendi sebelum ditauliah ke TUDM dengan pangkat Left Muda pada 1982.

Berbekal pengetahuan, kemahiran serta keberanian, beliau kemudiannya ditugaskan ke Pusat Latihan Terbang No.3 di TUDM Kuantan untuk penukaran latihan asas jet pejuang menggunakan pesawat MB-339A.

Titik permulaan kerjaya beliau sebagai juruterbang pesawat pejuang itu diteruskan lagi dengan penukaran kepada latihan operasi menggunakan pesawat pejuang McDonnell Douglas A-4 Skyhawk di No.9 Skn pada Oktober 1984 diikuti dengan penglibatan operasi pertamanya menggunakan pesawat berkenaan di No.6 Skn pada Jun 1985.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS