Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

ULASAN | Assalamualaikum, selamat sejahtera dan salam tahun baru 2020.

Terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya pihak media dan warga keluarga KPM.00

Ini mengingatkan saya ketika saya mula masuk ke bangunan ini sebagai menteri pendidikan hampir 20 bulan yang lalu, saya sering membayangkan betapa beratnya tanggungjawab memegang dua kementerian strategik di negara ini.


Baca: Maszlee sah letak jawatan menteri pendidikan


Dari hari pertama, saya menjangkakan banyak kontroversi akan muncul, terutamanya kita berada di fasa peralihan kerajaan dan juga harapan rakyat begitu mengunnung berbeza antara satu pihak dan pihak yang lain.

Begitu juga ruang kebebasan yang banyak yang tidak ada sebelum ni di zaman BN yang kini ada, telah memberi ruang untuk semua pihak untuk mengutarakan, membawa, dan juga melobi kepentingan atau agenda yang mereka ingin bawa dalam bidang pendidikan.

Namun, semenjak tahun 2018, KPM telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan. KPM telah menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, kemudiannya kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 - Jun 2019) dan kad laporan untuk tahun 2019. Trend ini telah diikuti oleh kementerian-kementerian yang lain. Semalam pun masih ada kementerian yang baru membentangkan laporan mereka. Yang penting KPM mendahului.

Trend ini kita harap jadi satu precedent bagi semua kementerian, bagi kementerian pendidikan dalam masa yang akan datang. Jikalau ada legasi yang ingin kita tinggalkan di peringkat KPM, kita ingin terajui ketelusan dan accountability, dan ini yang dikatakan tata kelola kerajaan yang baik ataupun good governance.

Tahun 2019 kemudiannya membuktikan beberapa inisiatif yang kita perkenalkan akhirnya membuahkan hasil. Hampir 90 peratus projek sekolah daif yang kita usahakan, siap lebih awal. Kita paparkan progres sekolah daif ini di laman web. Tidak pernah sebelum ini projek kerajaan begitu transparen dan boleh diakses oleh orang awam.

Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara. Anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa, latar belakang atau negeri mana mereka datang. Kita lihat ribuan telah kembali ke sekolah, ribuan telah dapat meneruskan pelajaran samada di sekolah atau universiti. Begitu juga pelajar tanpa dokumen kita telah daftarkan masuk untuk sekolah, yang sebelum ini mereka agak terbiar. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.

Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, telah kita usahakan. Guru-guru ramai yang telah berpuas hati apabila beban mereka dikurangkan sedikit demi sedikit bermula tahun 2019, hasil daripada sesi kita bersama NUTP. Kita tahu NUTP jikalau sebelum ini, agak jadi seteru kepada pihak kementerian, tapi bermula 2018 jadi rakan strategik malah jadi sebahagian keluarga besar KPM. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada NUTP dan persatuan-satuan guru yang bersama kita.

Begitu juga kita lancarkan gerakan Malaysia Membaca. Ini sebahagian dari usaha kita untuk memastikan pada tahun 2030, Malaysia menjadi sebuah negara membaca, dan kini kita telah lihat, kempen membaca ini telah mula berkembang di seluruh negara. Kita masih baru, tetapi berilah beberapa tahun lagi, kita akan lihat perubahan yang besar. Malah di kalangan anak-anak kita di tahun satu dan juga tahun tiga, yang mana telah dimansuhkan sistem penilaian hanya berdasarkan pemeriksaan, tetapi dinilai secara holistik, kita akan tekankan elemen pembacaan, membaca dan kefahaman demi membina masyarakat yang membaca 2030.

Kita juga telah membuat bacaan semula Auku di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan.

Kita juga mahu meletakkan semula peningkatan kualiti sebagai asas utama pendidikan. Kita harus faham kualiti pendidikan tidak boleh diperbaharui semalaman. Terdapat banyak isu sistemik yang kompleks. Salah satu daripadanya ialah korupsi. Umum mengetahui, banyak pihak yang mendapat kontrak melalui kabel-kabel tertentu sebelum ini. Ini bukan lagi rahsia, KPM adalah antara kementerian yang menjadi perhatian sebelum ini oleh SPRM. dan KPM bekerja keras untuk membanteras amalan ini. KPM bahkan membawa masuk Tan Sri Ambrin Buang dan jawatankuasanya untuk memastikan terdapatnya semak imbang, dan menunjukkan kepada umum betapa serius KPM terhadap isu korupsi dan ketirisan ini.

Perancangan KPM untuk tahun 2020 lebih besar daripada semua pencapaian 2019 ini. Dengan sebahagian daripada halangan-halangan sistemik ini telah berjaya kita selesaikan, kita akan mampu melaksanakan reformasi sistem yang lebih besar. Misalnya, pendidikan digital hanya dapat dilaksanakan jika semua sekolah mempunyai sistem internet yang pantas dan stabil. Sebelum ini terdapatnya monopoli dan para guru langsung tidak menggunakan platform tersebut kerana ia terlalu perlahan dan mereka tidak mempunyai pilihan. KPM memastikan sistem ini dibuka agar sekolah dapat memilih apakah pembekal internet yang terbaik serta platform yang lebih sesuai untuk anak-anak mereka. Hanya setelah ini, kita boleh fokus kepada IR 4.0 dan pendidikan Stem di sekolah.

Selain pelan digital pendidikan, perancangan tahun 2020 KPM juga adalah untuk meningkatkan kualiti sekolah dan universiti dengan memfokuskan guru, pensyarah, pentadbir dan penggubal dasar. Untuk guru, inilah sebabnya mengapa KPM bekerja keras mengurangkan beban kerja yang tidak relevan agar seterusnya kita dapat meningkatkan pedagogi. Malah Akta Pendidikan juga akan disemak semula untuk membolehkan anak-anak kita diwajibkan menghabiskan sekolah menengah.

Untuk universiti pula, kita akan memastikan mereka dapat bersaing lebih kompetitif di peringkat dunia. Universiti kita perlu belajar daripada universiti terbaik di dunia. Kerangka kebolehpasaran akan dilancarkan, yang mana lebih banyak program yang relevan dan hubungan industri yang lebih kuat akan menjadi keutamaan. Bacaan semula Auku akan memberi lebih autonomi kepada universiti dan kebebasan akademik untuk meningkat kualiti. Ini termasuk semua pembaharuan dalam program TVET kita sehingga kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 96.5 peratus.

Bagaimanapun, sebagaimana yang selalu saya tekankan dengan pegawai saya sebelum ini, kita semua harus merubah diri kita dahulu sebelum mengubah sekolah dan universiti. KPM harus bergerak menjadi lebih efektif dan proaktif. Setiap program harus berorientasikan outcome based. Ketika saya mengemudi KPM, saya selalu mengalu-alukan public private pertnership kerana saya tahu, kita tidak dapat melaksanakan reformasi sistem ini berseorangan. Sekolah milik komuniti, universiti milik masyarakat. Kejayaan sistem pendidikan adalah bermakna kejayaan masyarakat. Pendidikan adalah tanggungjawab semua.

Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat bukan melalui pencapaian-pencapaian ini. KPM sering menjadi perhatian media, dan kumpulan-kumpulan tertentu, dan juga di kalangan ahli politik, bukan dari pencapaian kita, bukan dari keberhasilan kita, bukan dari apa yang kita telah sumbangkan kepada masyarakat, yang telah beri makna yang signifikan. Apa yang berlaku dalam 20 bulan ini, tidak dapat dicapai dalam tahun-tahun sebelum ini. Perubahan yang kita lakukan dalam 20 bulan ini begitu signifikan dan indah untuk kita kongsikan, namun malangnya ia tidak dapat perhatian untuk headlines, dan juga tajuk-tajuk, Banyak tajuk sensasi lebih buat penghinaan, banyak isu-isu sensitif dan sengaja dibesar-besarkan lebih jadi pilihan utama.

Akhirnya, seperti mana saya sebutkan, saya sebagai menteri yang menerajui KPM lebih dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan seperti isu Jawi, Internet sekolah dan isu sarapan percuma, dan juga beberapa isu sampingan yang lain.

Bagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, “Pendidikan untuk Semua”. Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Perjuangan tidak akan pernah selesai dalam satu ruang. Perjuangan untuk memertabatkan pendidikan berlaku di setiap ruang. Ia bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja, seorang menteri sahaja, tapi tanggungjawab setiap ahli komuniti. Di mana pun kita berada, kita bertanggungjawab untuk memastikan pendidikan berkualiti dan terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama.

Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YAB Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM. Bukan mudah, untuk seorang yang tidak punyai latar belakang politik, seorang yang akedemia, pendidikan, diberi peranan untuk mengemudi satu kementerian yang besar ini yang mana jikalau kita lihat, lebih dihujani isu-isu politik dari isu pendidikan itu sendiri. Pada saya, amanah yang telah diberikan oleh ayahanda tun merupakan adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia. Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya, PPBM.

Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS