Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada masa ini sedang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.
Sumber dalam kerajaan mengesahkan pertemuan itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri, tetapi tidak menyatakan dengan lebih lanjut.
"Saya boleh sahkan pertemuan itu tetapi tak boleh dedah butirannya," katanya kepada Malaysiakini.
Baca: Maszlee sah letak jawatan menteri pendidikan
Pertemuan itu di tengah-tengah spekulasi yang mengatakan Maszlee akan mengumumkan peletakan jawatannya petang ini, atau digugurkan daripada kabinet.
Malaysiakini telah menghubungi setiausaha akhbarnya, Zul Fikri Zamir dan pegawainya Mahmood Kassim untuk ulasan lanjut.
Zul Fikri belum memberikan maklum balas, bagaimanapun Mahmood meminta Malaysiakini untuk hadir ke sidang media Maszlee yang dijadual diadakan pada pukul 4.30 petang di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Kedudukan Maszlee dikatakan terancam susulan kritikan yang diterimanya sebagai menteri pendidikan.
Terdahulu FMT melaporkan rombakan kabinet akan diadakan dan mungkin melibatkan beberapa timbalan menteri.
Maszlee merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum menyertai Bersatu beberapa bulan sebelum PRU ke-14.
Beliau bertanding di kawasan Parlimen Simpang Renggam dan berjaya merampas kerusi itu daripada BN.
Ketika PH mengambil alih kerajaan persekutuan, beliau bukan pilihan pertama untuk memegang portfolio pendidikan.
Mahathir sebaliknya mahu memegang sendiri portfolio itu sebelum sejumlah pihak mengingatkan tentang manifesto PH yang melarang perdana menteri memegang kementerian lain.
Antara kritikan yang diterima Maszlee sebelum ini adalah rancangan agar murid memakai kasut hitam pada 2021, dan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun Empat.
Sebelum ini Mahathir membayangkan untuk mempertimbangkan rombakan kabinet susulan kekalahan besar PH dalam PRK Tanjung Piai November lalu, dan ia mungkin akan melibatkan beberapa menteri.