Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Patuhi peraturan semasa penamaan calon PRK Kimanis - SPR
Diterbitkan:  Jan 2, 2020 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis serta parti politik perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pada hari penamaan calon Sabtu ini (4 Jan), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata kertas penamaan calon boleh dikemukakan mulai 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

Katanya kertas penamaan calon boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.

"Sekiranya mana-mana bakal calon telah membayar Deposit Pilihan Raya terlebih dahulu, perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

"Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata SPR berhasrat agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau mengingatkan semua calon dan parti politik yang terlibat untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan pada hari penamaan calon.

Menurutnya perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] mengenai larangan semasa penamaan calon.

Antara lain, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan, katanya.

Azhar berkata orang ramai serta penyokong parti politik dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Katanya jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen itu, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sepatutnya.

Menurutnya, parti politik yang terlibat bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa bagi menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan berlangsung dalam suasana yang selesa dan aman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS