Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indonesia tolak tuntutan China di Laut China Selatan

Indonesia semalam berkata pihaknya menolak tuntutan China ke atas bahagian yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan sebagai "tiada asas perundangan", dua hari selepas membuat bantahan kepada Beijing berhubung kehadiran kapal pengawal China di perairan wilayahnya.

Kapal itu masuk ke zon ekonomi eksklusif Indonesia di kepulauan utara Natuna, menyebabkan pegawai Indonesia mengeluarkan "protes kuat" dan memanggil duta China di Jakarta.

Bercakap di Beijing pada Selasa, jurucakap Kementerian Luar China Geng Shuang berkata negara itu memiliki kedaulatan terhadap Kepulauan Spratly dan perairannya, dan kedua-dua China dan Indonesia ada kegiatan perikanan yang "normal" di sana.

Dalam kritikan tajamnya, Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan pada Rabu menggesa China menjelaskan "asas perundangan dan sempadan jelas" berkenaan tuntutannya di zon ekonomi eksklusif itu, berdasarkan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982.

"Tuntutan China terhadap zon ekonomi eksklusif berasaskan nelayannya sudah lama aktif di sana...tiada asas perundangan dan tidak pernah diiktiraf oleh Unclos 1982," kata Kementerian Luar.

Jakarta juga berkata, hujah itu sudah disangkal ketika kekalahan China terhadap Filipina di Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague, Belanda pada 2016, berhubung tuntutan di Laut China Selatan.

Indonesia tiada tuntutan terhadap Kepulauan Spratly, yang terletak di timur laut Kepulauan Natuna.

Kementerian Luar mengulang pendiriannya bahawa negara itu bukan pihak penuntut di Laut China Selatan dan tiada bidang kuasa bertindih dengan China.

Bagaimanapun, Jakarta beberapa kali bertikai dengan China berkenaan hak perikanan sekitar Kepulauan Natuna, menahan nelayan China dan menguatkan ketenteraannya di kawasan itu.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, yang merupakan laluan perdagangan penting yang dipercayai memiliki minyak dan gas asli dalam kuantiti yang besar.

Beberapa negara Asia Tenggara menolak tuntutan China dan bersaing dengan negara itu untuk sumber perikanann dan hidrokarbon yang banyak di laut tersebut.

Beijing mengambil langkah meletakkan aset ketenteraan di pulau buatan yang dibina di kawasan pertikaian di sana.

Kedutaan Besar China di Jakarta tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

-Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS