Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Farhash ancam saman Zuraida
Diterbitkan:  Jan 1, 2020 11:18 PM
Dikemaskini: 3:42 PM

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, setiausaha politik kepada Presiden PKR mengancam untuk menyaman Zuraida Kamaruddin kerana didakwa memfitnah.

Ini berkenaan ucapan Zuraida pada majlis makan malam di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu. Majlis itu mengumpulkan kira-kira 2,000 penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Berdasarkan notis tuntutan melalui firma guaman Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, ucapan Zuraida membayangkan Farhash bertanggungjawab terhadap kekecohan pada Kongres Nasional PKR di Melaka.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha dalam notis itu mendakwa Zuraida membuat kenyataan berunsur fitnah, merosakkan dan tidak berasas terhadapnya.

Katanya, beberapa bahagian dalam ucapan Zuraida itu membawa maksud Farhash seorang “gangster”, ada “niat jenayah” dan “agenda tersembunyi”, dan “menggunakan keganasan dan taktik menakut-nakutkan” untuk mencapai matlamat.

“Akibat daripada kenyataan tersebut, anak guam kami mengalami kerugian dan hilang reputasi,” kata notis bertarikh 23 Disember tahun lalu itu.

Farhash menuntut Zuraida mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dalam masa tujuh hari dari tarikh surat itu dikeluarkan dan perlu menyiarkannya pada akhbar The Star.

“Jika anda gagal untuk memenuhi tuntutan ini dalam tempoh masa ditetapkan, kami diarahkan untuk meneruskan tindakan undang-undang, yang mana anda boleh dikenakan ganti rugi, kos, faedah, injunksi dan sebarang perintah sampingan yang mungkin diperintahkan mahkamah,” katanya.

Tempoh tujuh hari telah berakhir pada 30 Disember lalu. Walau bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan Zuraida sedang bercuti.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zuraida menjelaskan masih belum lagi menerima surat berkenaan.

Sementara itu, Free Malaysia Today memetik Nik Zarith mengesahkan notis tuntutan itu dan memaklumkan pihaknya belum menerima apa-apa jawapan daripada Zuraida.

“Surat itu mungkin sampai lambat kepada Zuraida. Kita berikan masa yang sesuai,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS