Pemilik kedai makan, warung atau restoran di negeri ini yang mematuhi saranan kerajaan Kelantan untuk mengehadkan waktu operasi sehingga 12 tengah malam akan dikecualikan bayaran lesen perniagaan selama setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata tindakan itu sebagai satu insentif kepada peniaga yang mematuhi saranan dalam menyokong usaha kerajaan negeri.
“Perkara (penutupan premis) ini bukan benda baru, malah ia terdapat dalam syarat lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Sekiranya peniaga ingin meneruskan perniagaan melebihi tempoh yang disarankan, mereka perlu memohon lesen kebenaran melalui Yang Dipertua PBT di tempat masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.
Dr Izani berkata pihak PBT dari semasa ke semasa akan turun memantau untuk menyemak premis yang masih berniaga melebihi tempoh yang ditetapkan.
“Kami akan bagi tempoh sebulan hingga dua bulan bermula awal tahun ini, sebagai tempoh untuk mendidik pelaksanaan ini kepada peniaga dan ia bukan tindakan yang drastik,” katanya.
Dr Izani berkata pelaksanaan waktu operasi itu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dilaporkan berkata Kelantan akan mengehadkan waktu operasi kedai makan, warung, atau restoran sehingga 12 malam bermula tahun ini.
Penguatkuasaan itu dilakukan bertujuan mengekang gejala sosial susulan satu kajian mengenal pasti punca golongan belia sering keluar rumah pada waktu malam antaranya kerana operasi restoran melebihi jam 12 malam.
- Bernama