Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia tak pandang mudah soal keganasan - Muhyiddin

Malaysia tidak memandang mudah soal-soal keganasan dengan mempergiatkan usaha membendung isu berkaitan kumpulan pengganas walaupun pihak berkuasa terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran besar, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kejayaan dan keberkesanan pihak berkuasa menangani isu berkaitan kumpulan pengganas jelas dapat dilihat apabila hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan mereka yang terlibat sebelum serangan dilakukan sesuatu kumpulan atau individu.

"Ia merupakan satu pencapaian... ia diuruskan oleh pihak risikan Malaysia, selain menggunakan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

"Saya fikir satu sudut ini berkesan walaupun kita akan mengambil langkah dengan menambah dan membawa pindaan (akta) ke Parlimen tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.

Muhyiddin berkata Malaysia tidak memandang mudah soal-soal keganasan dilakukan elemen-eleman jahat seperti Daesh - sama ada dari dalam atau luar negara - mahupun kumpulan lain yang cuba menggunakan Malaysia sebagai pangkalan.

"Ini kita tidak pandang mudah dari sudut tindakan yang dilakukan oleh risikan Malaysia untuk menahan mereka itu boleh dikatakan berjaya," katanya.

Ditanya berhubung kebajikan warga PDRM, Muhyiddin berkata Kementerian Dalam Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan warga polis bagi memastikan semangat bekerja dalam kalangan anggota dan pegawai polis sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS