Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerani wanita dipenjara sehari, denda RM55,000 kerana pecah amanah

Seorang kerani wanita dijatuhkan hukuman penjara sehari dan didenda RM55,000 oleh Mahkamah Majisret Kuala Pilah hari ini, kerana melakukan tiga kesalahan pecah amanah wang syarikat bernilai RM373,500.45 pada 2015 hingga 2018 lalu.

Majisret Narimah Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Teh Huey Huey, 37, yanng mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan yang dibaca jurubahasa.

Narimah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM15,000 dan jika gagal bayar penjara 15 bulan bagi pertuduhan pilihan pertama, penjara sehari dan denda RM17,000 dan jika gagal bayar 17 bulan penjara bagi pertuduhan pilihan kedua, manakala hukuman bagi pertuduhan pilihan ketiga penjara selama sehari dan denda RM23,000 jika gagal bayar penjara 23 bulan.

Narimah menetapkan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan serentak dari tarikh jatuh hukum.

Teh didakwa atas pertuduhan pilihan pertama, iaitu pada 1 April 2015 hingga 27 April 2017 di syarikat Gan Tian Hua di Taman Bukit Pilah Perdana, sebagai kerani telah diamanahkan suatu harta syarikat iaitu wang syarikat bernilai RM66,900 melakukan pecah amanah.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, pada 2 Jun 2015 hingga 5 April 2017 di syarikat sama tertuduh didakwa melakukan pecah amanah sebanyak RM93,400.

Manakala bagi pertuduhan pilihan ketiga, pada 25 Nov 2016 hingga 10 April 2018 di syarikat yang sama, tertuduh melakukan pecah amanah sebanyak RM213,200.45.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan ketiga-tiga kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norellysha Farhana Mohd Aris, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Aina Ardila Abd Halim.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS