Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Latheefa: Dakwaan polis diserang pegawai SPRM disiasat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat laporan mengenai tiga anggota polis yang mendakwa mereka diserang pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan berhubung kes pemerasan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata dakwaan itu akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh diberikan kepada polis berhubung laporan berkenaan.

“Tiada toleransi bagi sebarang jenis serangan dalam tahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan satu laporan polis juga telah dibuat oleh pegawai SPRM terbabit yang menyatakan bahawa tuduhan serangan dalam tahanan itu adalah palsu.

Latheefa menegaskan SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek.

Jelasnya dalam kes penahanan itu, anggota polis terbabit sedang disiasat SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

Katanya ia merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.

Tiga anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun sebelum ini membuat laporan polis mendakwa mereka ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 24 dan 26 Dis lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS