Kerajaan telah mewartakan dua perintah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020.
Ia bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan.
Menurut warta bertarikh 26 Disember, "pelancong itu hendaklah berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik yang disediakan."
Apabila selesai mendaftar, pelancong berkenaan perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan.
Visa 15 hari itu tidak boleh disambung.
Pada saat ketibaan ke negara ini, para pelancong itu perlu membuktikan mereka mempunyai wang mencukupi atau kad kredit serta maklumat jadual perjalanan.
Pelancong berkenaan boleh memohon semula untuk visa jangka pendek itu selepas 45 hari mereka meninggalkan Malaysia.
Warta itu ditandatangani Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, "yang menjalankan fungsi-fungsi menteri dalam negeri."
Mengulas warta ini, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii (gambar, bawah) mempersoalkan mengapa visa tersebut diberikan.
Beliau menyebut laporan Jabatan Audit Negara menyatakan dari 2016 hingga 2018, lebih 95 peratus pelancong dari China dan India tidak mempunyai rekod keluar.
"Saya mengesa agar Kerajaan memantau keluar masuk pelancong China ke negara ini dan memastikan mereka semua keluar dari Malaysia seperti yang putuskan tidak lebih 15 hari.
"Tidak ada jaminan oleh kerajaan PH dimana dapat memastikan mereka ini keluar dari Malaysia, ianya kerana sistem yang ada adalah sistem yang sama. Penguatkusaan juga lemah dan tidak mampu untuk mengusir pelancong warga China yang overstay (tinggal lebih masa dari yang ditetapkan).
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan PH hari ini ibarat menjual negara kepada warga China tanpa melihat apakah implikasi kepada negara, memang benar kita mahukan pelancung yang ramai untuk menjana hasil Negara, namun ianya akan lebih merugikan negara sekiranya pengurusan menghantar pulang pelancong ini lebih ramai di masa akan datang," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Laporan itu menyatakan dalam tempoh berkenaan terdapat 79,799 pelancong dari China tetapi 76,258 atau 95.6 peratus tidak mempunyai rekod keluar.
Begitu juga, bagi 41,243 pelancong dari India yang memasuki negara dalam tempoh itu, yang mana 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai rekod keluar.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata angka itu salah dan untuk pelancong China sekurang-kurangnya, hanya 23 peratus daripada mereka tidak mempunyai rekod keluar.
Beliau menjelaskan bahawa perbezaan itu mungkin disebabkan pelancong yang memasuki negara ini di bawah sistem visa khas, tetapi keluar sebagai pelancong biasa dengan visa lawatan sosial.
[Baca berita penuh]