Pakar Kajian Strategik & Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam menyokong cadangan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan.
Beliau berkata, ini kerana situasi negara kini berdepan dengan pelbagai ancaman yang boleh menggugat keharmonian negara.
Jelasnya, hanya mereka yang bersalah saja pasti akan takut jika akta itu dikembalikan.
"Hari ini Malaysia berdepan beberapa ancaman berat dan merbahaya yang dipuncakan daripada agenda tersembunyi dan licik seperti, komunis, Syiah, LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam), kristianisasi, wahabi dan ajaran sesat serta kegiatan jenayah terancang.
"Hanya dengan memperkenalkan semula ISA maka ancaman-ancaman ini sudah pasti dapat dikekang bagi menjamin keharmonian rakyat.
"Apabila ISA dimansuhkan kita dapat lihat kelompok-kelompok ini semakin berani menonjolkan diri dan menyebarkan ideologi mereka secara terbuka," katanya kepada Malaysiakini.
Kelmarin, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Malaysia (Putra) Ibrahim Ali mencabar kerajaan untuk memperkenalkan semula ISA bagi membendung ideologi komunis di negara ini.
"Bila ISA dimansuhkan, mereka (penyokong komunis) menjadi berani. Di bawah nama manifesto Pakatan Harapan, mereka berkerja keras untuk mansuhkan Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012).
"Ia cerita lain jika mereka nak memperbaiki Sosma, tapi ini nak mansuhkan.
"Dan mereka (juga) nak Suruhanjaya Aduan dan Salah laku Polis Bebas (IPCMC); ini menunjukkan perjuangan komunis.
"Untuk menghargai pengorbanan oleh polis dan tentera, dan mengambil kira kekecewaan mereka, saya menjemput rakyat, dan mencabar kerajaan, untuk mengembalikan ISA demi kebaikan negara," katanya.
Untuk rekod, Ibrahim merupakan bekas tahanan ISA dan dipenjarakan sebanyak dua kali pada tahun 1974 dan 1987.
Pakatan Harapan dalam manifesto berjanji untuk mansuhkan peruntukan dalam beberapa akta tertentu, termasuk Sosma, selain akan membentang Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC 2019 yang dijadual pada Mac tahun depan.
Sementara itu, Mizan berkata pihak yang menantang ISA harus melihat dari sudut kebaikan undang-undang ini dalam mengawal keganasan dan jenayah serta keselamatan negara ini.
Katanya, selama ini ISA telah berjaya "menyelamatkan jutaan nyawa rakyat" di negara ini termasuklah pemimpin kerajaan dan juga pembangkang.
"ISA juga telah berjaya menyelamatkan harta benda rakyat dan kelompok-kelompok yang menentang undang-undang ini, jika tidak maka banyaklah kerosakan dan kemusnahan yang boleh menggagalkan perniagaan mereka.
"Apa akan terjadi pada negara ini jika ISA tidak diwujudkan sejak zaman komunis dulu lagi? Pastinya Malaysia tidak semaju dan semakmur apa yang dikecapi hari ini.
"Hanya yang bersalah takutkan ISA. Yang tidak bersalah tidak perlu rasa takut. Yang perlu dikawal adalah pengurusan ISA, jika salah guna kuasa di pihak polis, maka pihak polislah yang harus dikenakan tindakan bukannya undang-undang yang dibangunkan untuk mengawal keselamatan negara," katanya.