Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan jururawat ucap terima kasih PM setuju tangguh mansuh elaun kritikal
Diterbitkan:  Dec 27, 2019 10:46 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menangguhkan pemansuhan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK), yang mengundang bantahan banyak pihak baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Twitter hari ini.

Menurut Syed Saddiq, Dr Mahathir setuju untuk membincangkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet pertama tahun depan.

Berita itu mengundang reaksi Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) yang menyuarakan penghargaannya atas keputusan tersebut.

Presiden MNU Nor Hayati Abd Rashid berkata ia menunjukkan kerajaan sedia mendengar dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap keluhan rakyat.

"MNU mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan perdana menteri. Kami berharap perkara ini diberi pertimbangan sewajarnya dalam mesyuarat kabinet nanti.

"Semoga dengan keperihatinan mengembalikan elaun kritikal ini kepada jururawat, doktor dan anggota kesihata lain, ia akan meningkatkan semangat dan kesetiaan dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu pemansuhan elaun itu, yang diumum dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 20 Disember, melibatkan lantikan penjawat awam profesional bermula tahun depan.

Keputusan itu dibuat setelah semakan JPA mendapati pekerjaan itu tidak lagi menepati kriteria ditetapkan untuk elaun tersebut.

Semalam MNU dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata mahu berbincang dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu pemansuhan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS