Polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menggesa semua pihak menghormati perintah mahkamah itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada yang melanggarnya.
"Polis menggesa semua pihak terlibat dan orang ramai agar tidak hadir ke persidangan tersebut atau mana-mana perhimpunan bagi membantahnya yang dianjurkan NGO, persatuan dan pertubuhan.
"Bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, polis khasnya ibu pejabat polis daerah Kajang telah emmohon perintah ini atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam, yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah ini," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Dzaffir berkata perintah mahkamah itu telah diserahkan kepada pada jam lima petang tadi.
Menurut dokumen itu yang dilihat Malaysiakini, perintah mahkamah itu ditandatangani majistret Syahrul Sazly Md Sain.
"...Telah didapati oleh mahkamah ini bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan persidangan tersebut akan diadakat pada 28 Disember 2019 (Sabtu) dan berdasarkan kepada maklumat terkini yang diperolehi oleh pihak pemohon mendapati akan berlaku satu gaduh-gempar/rusuhan akan berlaku sekiranya persidangan tersebut diteruskan.
"Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu," menurut dokumen itu.
Menurut penganjur program Low Chee Cheong, Dong Zong akan membatalkan kongres itu dan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan butiran lanjut, hari ini.
"Kami hormat perintah mahkamah, program kami esok akan dibatalkan," katanya.
Menurut laporan terdahulu, penganjur Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) menjangka kongres itu akan disertai 1,000 hadirin.
Dong Jong sebelum ini berkata, program itu hanya akan dilakukan di tingkat lima kolej tersebut, dan tiada ada rancangan untuk para peserta keluar bagi mengadakan perhimpunan.
Pihaknya juga mengeluarkan larangan kepada peserta untuk membawa sepanduk, plakad dan bahan berunsur provokasi.
Beberapa NGO menyuarakan bantahan terhadap kongres itu, dengan tiga daripadanya - Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) - berkata akan mengadakan himpunan jika Dong Zong tidak membatalkannya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan menetapkan pengajaran tulisan Jawi hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.
Bagaimanapun Dong Zong bertegas mahu Lembaga Pengelola Sekolah dilibatkan dalam proses membuat keputusan berhubung pengajaran itu, yang dijadual dimulakan tahun depan untuk murid tahun empat.