Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jakoa siasat dakwaan lelaki, mayat anak ditinggal tepi jalan

Tindakan sewajarnya akan segera diambil daripada hasil siasatan insiden seorang lelaki orang Asli dari Pos Blau, Kelantan yang mendakwa ditinggalkan tepi jalan bersama mayat anaknya baru-baru ini, menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo berkata siasatan terperinci kejadian lelaki itu yang dilaporkan ditinggalkan oleh pemandu kontraktor di simpang Pos Blau, dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

"Jakoa juga ingin mengesahkan bahawa laporan mangsa mengenai insiden itu telah diterima pada 26 Dis lepas," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa kebajikan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi keutamaan Jakoa dan sentiasa peka dengan segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.

Pada 27 Dis lepas, seorang lelaki orang Asli dari Pos Blau dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa Jakoa dan pemandu kontraktor cuai dalam urusan menghantarnya dan mayat bayinya yang dilahirkan tujuh bulan untuk dikebumikan di kampung.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS