Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO beri kata dua: Batal kongres atau kami berhimpun
Diterbitkan:  Dec 26, 2019 11:50 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) berkata pihaknya akan mengadakan himpunan jika Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak membatalkan kongres membincangkan isu tulisan Jawi, yang dijadual berlangsung 28 Disember ini.

Kata dua itu disampaikan menerusi satu memorandum - yang turut disokong Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) - yang dihantar kepada Dong Zong, dan dikongsikan kepada media malam ini.

"Agra ingin mendesak agar Dong Zong menghentikan penganjuran kongres ini kerana ia satu tindakan yang jelas mengkhianati kepentingan negara.

"Kami tidak mahu Dong Zong dianggap sebagai pengkhianat, malah Dong Zong perlu beringat dan menghimbau sejarah kerana mereka tidak akan wujud hari ini tanpa toleransi berbilang kaum untuk bersama dan bersatu padu," kata NGO itu.

Presiden Agra, Ashraf Mustaqim Badrul Murni juga merupakan anggota jawatankuasa Pemuda Bersatu.

Agra berkata, pihaknya dan sejumlah kumpulan lain akan mengadakan himpunan untuk mendesak pembatalan kongres itu.

"Jika Dong Zong tetap berkeras untuk meneruskannya, maka mereka perlu mengalu-alukan kedatangan Agra yang tetap berhimpun, dengan Dong Zong melibatkan kami dalam sesi dialog agar tiada unsur gambaran khianat," katanya lagi.

Jika kongres itu dibatalkan, kata Agra, pihaknya akan mengadakan sesi dialog bersama Dong Zong dan dan kumpulan pendidikan lain untuk membincangkan isu Jawi.

Dong Zong bersama-sama Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia) menjangka kongres itu yang akan diadakan di New Era College Kajang, akan disertai 1,000 hadirin.

Terdahulu hari ini, Dong Jiao Zong dalam sidang media berkata pihaknya akan memberi kerjasama dengan polis bagi menjamin keselamatan sepanjang program itu.

"Kami telah berhubung dengan polis, dan pasukan kami telah bersedia," kata presidennya Tan Tai Kim.

Beliau mengulang kembali larangan membawa sepanduk, plakad dan bahan berunsur provokasi ketika kongres itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS