Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP mohon dana agar polis boleh dirawat di hospital tentera

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan bagi membolehkan warganya menikmati kemudahan perubatan di hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beliau telah dimaklumkan bahawa pihak ATM tidak mempunyai masalah untuk memberikan rawatan buat warga PDRM sekiranya mendapat peruntukan daripada kerajaan.

"Insya-Allah saya akan berunding dengan kerajaaan (bagi mendapatkan peruntukan) supaya warga PDRM mendapat perkhidmatan yang baik daripada hospital tentera.

"ATM telah gariskan beberapa halangan tertentu (bagi warga PDRM mendapat rawatan), yang paling utama adalah peruntukan.

"Pihak ATM telah berikan perkhidmatan yang terbaik untuk warga mereka dan saya akan berunding minta peruntukan sebab ATM tiada halangan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurutnya, ATM juga menawarkan tempat kepada warga PDRM untuk menyambung pengajian di universiti milik mereka.

Hamid berkata demikian selepas menerima kujungan hormat sempena persaraan Panglima ATM, Zulkifli Zainal Abidin.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata selain peruntukan, hospital tentera juga memerlukan penambahbaikkan kepada infrastruktur hospital.

Katanya, ATM sedia memberi perkhidmatan perubatan kepada warga PDRM sekiranya beberapa kekangan dapat diatasi.

"Kalau kerajaan hendak bagi bukan saja peruntukan, tetapi juga kelengkapan perlu ditambah baik," katanya dalam sidang media bersama.

Sehingga kini ATM mempunyai tiga hospital yang terletak di Lumut, Perak, Terendak, Melaka dan Hospital Tuanku Mizan di ibu negara.

Mengulas mengenai kunjungannya ke Bukit Aman pagi ini sempena persaraanya, Zulkifli berkata ATM dan PDRM sentiasa mempunyai hubungan yang baik.

Katanya, hubungan baik antara ATM dan PDRM penting bagi menjamin keselamatan negara terpelihara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS