ULASAN | Baru-baru ini sebuah media berbahasa Cina dan parti politik telah membangkitkan isu berhubung aktiviti dakwah di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang mendakwa ianya adalah satu langkah Islamisasi di Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK-C).
Sebelum pergi lebih jauh, perkara pokok yang harus disemak dan difahami adalah peranan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) iaitu bertujuan untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.
Dalam konteks Malaysia Baru, pendekatan Yadim adalah sejajar dengan garis dasar 'Rahmatan lil-alamin' yang menjadi tunjang pembawaan Islam dalam konteks kemajmukan Malaysia.
Rakan Siswa Yadim (RSY) merupakan produk kaderisasi Yadim yang memfokuskan kepada golongan belia muslim berusia 15 hingga 30 tahun dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Selain aktiviti dengan pelajar universiti, mereka juga giat terlibat dengan pelbagai program kemasyarakatan dan kebajikan.
Berhubung dengan dakwaan bahawa aktiviti dan kegiatan dakwah oleh RSY adalah salah satu proses Islamisasi ke atas pelajar dan murid-murid non muslim adalah tidak benar kerana kegiatan RSY adalah tertumpu dikalangan pelajar Islam, sekalipun ia diadakan di SRJK-C atau mana-mana sekolah selagi ada pelajar muslim.
Yadim percaya, menerusi proses 'islah' atau pembaikan diri individu muslim, ia akan mendorong kearah pembinaan masyarakat yang berakhlak, rukun dan manusiawi meskipun hidup dalam penuh kepelbagaian.
Selain daripada itu juga, semua kegiatan RSY adalah tertakluk dibawah kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia dan ia selari dengan garis panduan yang ditetapkan termasuk menghormati prinsip kebebasan beragama yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Tindakan oleh sesetengah pihak yang membuat dakwaan buruk mengenai usaha Yadim menerusi RSY adalah tindakan politik untuk meniup persepsi serta sentimen keagamaan dan perkauman yang sempit, yang boleh merosakkan hubungan harmoni antara mana-mana agama dan kaum di Malaysia.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah memberi penjelasan berhubung perkara ini dan kami yakin, tidak ada lagi sebarang kekeliruan berhubung isu ini.
Kami menyeru kepada pihak-pihak terbabit untuk segera menghentikan dakwaan liar sebegini sebaliknya bersama-sama kami untuk membantu memberi pendidikan yang terbaik buat anak-anak Malaysia amnya.
Sekali lagi kami ingin tegaskan bahawa Yadim sebagai sebuah institusi dakwah Islam di Malaysia, pada umumnya senantiasa menggalakkan semua masyarakat pelbagai bangsa untuk berlumba-lumba membuat kebaikan dengan memberi kefahaman, pengamalan dan penghayatan Islam yang sederhana dan berhikmah melalui kegiatan dakwah dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan.
Ini sejajar dengan motto ‘Fastabiqul Khairat' iaitu 'Berlumba-lumba Mengejar Kebaikan’ di Yadim.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merangkap exco Johor dan ketua Dapsy negeri.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.