Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribut luruan dahsyat hakis teruk pantai T'ganu - Pensyarah

Satu kajian sedang dijalankan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) bagi mencari penyelesaian masalah hakisan pantai yang semakin kritikal di Terengganu ketika ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr Effi Helmy Ariffin berkata kajian dibuat oleh enam penyelidik itu telah bermula Januari lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2021.

Katanya hakisan teruk yang berlaku di Terengganu pada musim tengkujuh tahun ini sehingga menyebabkan pelbagai kemusnahan adalah disebabkan fenomena ribut luruan yang dahsyat.

"Ia menyebabkan kadar hakisan yang tinggi di sepanjang garis pantai di Terengganu. Sebelum ini, kawasan yang mudah terdedah dengan kesan ribut luruan adalah di kawasan pantai Dungun dan Kemaman yang mana kawasan ini lebih rendah dari sudut muka bumi," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kejadian yang berlaku pada 27 Nov lepas ketika bulan penuh telah mempengaruhi air pasang besar sehingga 2.7 meter di utara Terengganu dan 3.4 meter di selatan Terengganu.

"Ini mengakibatkan berlaku ribut luruan yang lebih tinggi dan memberi kesan hakisan setinggi dua hingga tiga meter di sepanjang garis pantai di Terengganu," katanya.

Kumpulan penyelidik itu mendapati penyelesaian jangka pendek ialah membina benteng pemecah ombak namun ia akan memberi kesan hakisan kepada kawasan pantai di sebelah utara.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula katanya, kerajaan disaran agar membiarkan sebahagian kawasan Kuala Nerus menjadi teluk secara semula jadi kerana ia akan mengurangkan tenaga ombak di kawasan utara.

"Ini terbukti di mana hakisan yang berlaku di Pengkalan Maras telah memperlahankan tenaga ombak di bahagian utara manakala di kawasan pantai Kemaman dan Dungun pula, kerajaan perlu membina benteng seperti di Kuala Selangor, Selangor kerana ia boleh mengurangkan kesan kenaikan paras air laut.

Selain dibuat untuk mengelakkan kemasukan air laut ke kawasan darat, beliau berkata benteng yang dibina di Kuala Selangor juga boleh digunakan untuk aktiviti pertanian.

"Pantai di Besut dan Setiu pula perlu dibiarkan secara semula jadi kerana kawasan teluk yang ada di Kuala Nerus itu nanti akan mengurangkan hakisan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata pembentukan teluk itu akan berlaku secara semula jadi namun untuk pembinaan secara tiruan, ia memerlukan kajian mendalam termasuk dari segi kos dan impak jangka masa panjang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS