Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof hari ini menggesa penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong, antara lain untuk membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, agar ditangguhkan.

Mujahid berkata, ia bagi memberi ruang kepada pendekatan "lebih berhikmah" seperti rundingan dan dialog berkenaan isu berkenaan.

“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan. Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama.

“Semua kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hujung minggu ini, dua kongres mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dijadualkan berlangsung.

Selain Kongres Organisasi Cina, satu lagi program ialah Kongres Jawi oleh sekumpulan aktivis yang dikenali sebagai Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) yang bertujuan menyuarakan bantahan terhadap pengajaran tulisan itu yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

Sidang media Sekat

Kongres Organisasi Cina diadakan pada 28 Disember (Sabtu) di Kolej Universiti New Era di Kajang, manakala Kongres Jawi diadakan pada 29 Disember (Ahad) di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong Low Chee Chong semalam berkata, kongres itu bukanlah satu protes tetapi untuk "membincangkan mengenai topik pendidikan dan isu tulisan Jawi" dan tidak melibatkan sebarang perhimpunan oleh para peserta.

Pandangan Mujahid itu senada dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang meminta penganjuran mana-mana sidang berkaitan Jawi - sama ada yang membantah mahupun menyokong - untuk tidak diteruskan.

Sebaliknya, Anwar meminta pihak-pihak berkenaan untuk “kembali ke ruang dialog” bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Penganjuran sidang anti-Jawi akan mengundang reaksi sidang pro-Jawi,” katanya dua hari lalu.

'Dijadikan masalah negara'

Dalam pada itu, Mujahid meluahkan kehairanannya terhadap pihak yang berterusan menyuarakan bantahan terhadap isu tulisan Jawi di sekolah sehingga menjadikannya satu “masalah negara”.

“Setiap kita akan tertanya mengapakah ada pihak yang tetap berkeras untuk memanjangkan isu tulisan Jawi melalui bantahan berterusan?

“[...] Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara?” soalnya.

Kata Mujahid, pihak tersebut sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen memandangkan tindakan mengadakan bantahan melalui kongres akan mendapat reaksi negatif daripada pihak yang tidak bersetuju dengan mereka.

”Atas reaksi spontan yang lebih memudaratkan inilah maka satu keputusan penuh berhikmah perlu dibuat,” katanya lagi.

Pada 20 Disember lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan hal sama, bahawa program seumpama itu akan menyebabkan “kekacauan dan ketidakstabilan” kerana ia akan mengundang tindak balas daripada kumpulan Melayu jika ia diteruskan.


BacaNah, 3 muka surat pelajaran Jawi yang jadi pertikaian


Antara perkara yang menjadi pertikaian dalam isu Jawi ialah garis panduan terbaru oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyerahkan kepada ibu bapa untuk menentukan tentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Menurut garis panduan itu, jika lebih daripada separuh ibu bapa bersetuju, maka pengajarannya akan diteruskan di sekolah.

Sedangkan Dong Jiao Zong, mahu lembaga sekolah turut terlibat dalam keputusan itu.

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang, menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap kenyataan berbaur provokatif yang dibuat terhadap Dong Zong, antaranya oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Saifullah Baiduri.

Saifullah semalam memberi amaran bahawa tragedi berdarah 13 Mei 1969 “boleh berulang” sekiranya Dong Zong terus dibiarkan bertapak di negara ini.

 

Dalam kenyataan hari ini, anggota parlimen Iskandar Puteri itu turut membangkitkan video seorang penceramah yang menuduh PH sebagai kerajaan komunis, seperti yang dilapor Malaysiakini semalam.

“Semalam, ada video di media sosial memaparkan ucapan penceramah...menuduh PH menjadi kerajaan komunis, dan komunis sudah menyusup ke kerajaan dan kabinet Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu, jika Saifullah dan penceramah berkenaan diberikan “imuniti dan pengecualian” daripada tindakan untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kebencian dan syak wasangka di kalangan rakyat, Malaysia tidak akan menjadi negara yang bersatu dan aman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS