Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Batin ganti C70 dicuri anak buah dengan EX5
Diterbitkan:  Dec 25, 2019 11:49 AM
Dikemaskini: 4:40 AM

Bagi menebus kesilapan yang dilakukan oleh anak buahnya mencuri motosikal awal bulan lalu, Tok Batin satu perkampungan di Gerik, Perak, sanggup mengganti semula motosikal yang dicuri itu.

Bagi Bili bin Jali, Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Gerik, tindakannya itu diambil atas rasa tanggungjawab sebagai pemimpin kampung, dan semata-mata bagi membersihkan nama Kampung Orang Asli.

Malah, kapcai model C70 yang dicuri itu, turut diganti dengan model yang lebih baru dan baik, iaitu EX5 terpakai berharga RM3,800, dan telah diserahkan kepada mangsa curi yang berasal dari Kampung Kerunai itu, petang semalam.

“Saya Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Gerik mohon maaf kepada semua warga Gerik, mungkin ini kesilapan anak buah saya yang pertama. Harap dimaafkanlah Orang Asli Ulu Gerik. Yang benar dari saya, Tok Baten Kampung Orang Asli Ulu Gerik.

“Saya harap tolong tularkan kepada seluruh warga Gerik untuk membersihkan nama Kampung Orang Asli Ulu Gerik. Berani kerana benar takut kerana salah. Kami Orang Asli hanyalah manusia biasa,” katanya pada hantaran di Facebook.

Turut dikepil bersama akaun Facebook “Tok Janggut Puthih” itu, tiga keping gambar yang memaparkan penyerahan motosikal itu kepada mangsa, serta gambar motosikal model Honda EX5 yang diganti itu.

Tindakan Bili itu mendapat perhatian pengendali Facebook Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang menyifatkannya sebagai tindakan “luar biasa” seorang pemimpin.

“Bili Bin Jali (baju merah) bukan seorang ‘superhero’ filem, tetapi tindakan Tok Batin dari Kampung Orang Asli Ulu Gerik ini menjadikan beliau seorang ‘hero’ dalam menjadi contoh tauladan sebagai seorang pemimpin masyarakat.

“Syabas Tok Batin Bili!” Kongsi Ahmad Faizal di Facebooknya.

Pengendali Facebook itu turut berkongsi semula hantaran Bili itu di Facebook Ahmad Faizal.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS