Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Loji Semenyih kembali operasi, bekalan air mula disalurkan
Diterbitkan:  Dec 24, 2019 9:08 AM
Dikemaskini: 3:01 AM

Bekalan air terawat telah mula disalurkan bermula pukul satu pagi tadi dengan sebahagian kawasan yang terjejas telah menerima bekalan air sejak awal pagi, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Pemulihan bekalan air akan berlaku secara berperingkat mengikut kedudukan geografi dan altitud premis pengguna, dengan jangkaan bekalan air pulih sepenuhnya dalam masa 72 jam, menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor Abdul Halem Mat Som.

"Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah kembali beroperasi sejak pukul satu tengah hari semalam.

"Semasa proses rawatan, pihak Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah membuat pemantauan dan ujian kualiti air secara berkala di LRA dan kolam imbangan...kementerian dan SPAN mengesahkan air yang dirawat mematuhi piawaian kementerian dan tiada bau dikesan pada proses rawatan dan air terawat di kolam imbangan, serta selamat untuk dibekalkan kepada pengguna.

"Buat masa ini kakitangan Air Selangor dalam proses menstabilkan tekanan di jajaran paip utama serta kolam-kolam utama," kata Air Selangor lagi.

Ia bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku ekoran pencemaran bau. LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya pada 21 Disember lalu ekoran insiden itu.

Pada 22 Disember lalu, Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Walau kami merasakan ia berkaitan dengan pembuangan sisa haram tetapi ada juga laporan di media sosial yang mencadangkan ia berpunca daripada sabotaj," katanya.

Sementara itu, kerajaan Selangor bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, Air Selangor memaklumkan LRA Bukit Tampoi masih berlum beroperasi kerana pencemaran bau masih dikesan di muka sauk.

Sementara bekalan pulih sepenuhnya, lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas dan 11 pusat khidmat setempat masih meneruskan operasi 24 jam, termasuk menyediakan 18 lokasi pili awam, kata Air Selangor lagi.

Pencemaran kali ini menyebabkan gangguan bekalan air kepada 336,930 pengguna di empat daerah di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS