Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya umum bersumpah 2 hari lebih awal, tapi tiada bantahan
Diterbitkan:  Dec 23, 2019 8:43 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau mengumumkan untuk melakukan sumpah laknat bagi menafikan pembabitannya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dua hari lebih awal.

Bagaimanapun, katanya, pada masa itu tiada mana-mana pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pejabat mufti wilayah menyatakan bantahan.

"Saya sengaja umumkan untuk bersumpah dua hari lebih awal. Tujuan saya buat begitu adalah memberi ruang untuk pihak berkuasa agama seperti JAWI dan Mufti Wilayah membantah atau menghalang saya.

"Ini bukan kali pertama saya lakukan begini. Saya pernah mengumumkan untuk bersolat Jumaat di Masjid Ar-Rahman (UM) lebih awal. Namun atas kesukaran dari pentadbiran masjid, saya batalkan hasrat, dan tunaikan solat di Masjid Kerinchi yang berhampiran.

"Ya, saya orang yang mudah dibawa bincang. Jika ada bantahan awal, sudah pasti saya akan menarik kembali hasrat saya (bersumpah laknat). Malangnya tiada," kata Najib menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Najib berkata selepas dua hari melakukan sumpah, Jawi dan pejabat mufti Wilayah Persekutuan secara serentak mengeluarkan kenyataan.

"Mungkin ia kebetulan. Walaupun begitu, saya tetap mengambil nasihat dan kritikan dengan hati yang terbuka.

"Hati saya cukup berat, ya mungkin Allah bagi saya petunjuk kepada saya bahawa isu bersumpah akan menjadi polemik besar," katanya.

Jumaat lalu, Najib melakukan sumpah berkenaan di Masjid Jamek Kampong Bharu di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

Ia susulan dakwaan dibuat oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri bahawa bekas perdana menteri itu mengarahkan pembunuhan Altantuya pada 2016.

Dakwaan itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Awal hari ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".

Dalam Islam, katanya, ucapan li'an dilakukan oleh suami yang melihat isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat saksi.

Manakala Istilah "mubahalah" (saling laknat melaknati) pula tidak merujuk kepada perundangan Islam, kata Zulkifli.

Hari ini juga Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail mengeluarkan kenyataan bagi mengingatkan larangan penyalahgunaan institusi masjid di Wilayah Persekutuan bagi tujuan peribadi dan politik.

Beliau juga menasihatkan semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan politik agar sentiasa memastikan masjid sebagai institusi kesejahteraan ummah terpelihara.

Kongsikan doa sahabat Nabi

Sementara itu Najib menerusi Facebooknya turut berkongsikan doa yang pernah dibacakan sahabat Nabi, Saad bin Abi Waqqas.

"... Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggamanMu.

"Ya Allah! Aku berdoa sebagaimana doa yang diucapkan oleh Saad bin Abi Waqqas terhadap mereka yang telah memfitnah, berdusta dan cuba menganiaya diriku,

"Ya Allah Azza wa Jalla, jika mereka itu berdusta, berdiri kerana riya' atau sum'ah, maka panjangkanlah umurnya, jadikan kehidupan mereka dalam kefakirannya dan hadapkanlah dia kepada fitnah dan pembalasan-Mu Ya Allah.

"Ya Allah! Sekiranya aku tidak bersalah dan tuduhan mereka itu ternyata dusta, timpakanlah laknat-Mu ke atas mereka dan timpakanlah laknat-Mu ke atas ahli keluarga mereka. Sesungguhnya azab Mu amat berat sekali...."

"Ya, anda lebih faqeh dalam bidang agama. Dan anda lebih tahu kesan doa orang teraniaya," kata Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS