Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawi ingatkan jangan salah guna masjid untuk peribadi, politik
Diterbitkan:  Dec 23, 2019 6:16 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil maklum berhubung penyalahgunaan institusi masjid  di Wilayah Persekutuan bagi tujuan peribadi dan politik.

"Untuk makluman, pentadbiran masjid-masjid berkenaan di Wilayah Persekutuan adalah tertakluk kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam  (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505)," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

"Justeru jabatan ini mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran terhadap akta berkenaan boleh dikenakan tindakan dan semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan politik adalah dinasihatkan agar sentiasa memastikan masjid sebagai institusi kesejahteraan ummah terpelihara selaras dengan konsep masjid RAHMAH (Ramah, Harmoni, Mesra, Alami, Hormat," jelasnya.

Jumaat lalu, bekas perdana menteri Najib Razak melakukan "sumpah laknat" untuk menafikan dakwaan beliau mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Sumpah itu dilakukan di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

Tindakan itu dibuat susulan dakwaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri bahawa bekas presiden Umno itu mengarahkan pembunuhan Altantuya pada tahun 2006.

Dalam Akuan Bersumpah (SD) yang difailkannya, Azilah mendakwa Najib meyakinkannya bahawa Altantuya adalah seorang perisik asing yang merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.

Bekas cif inspektor itu turut memfailkan permohonan perbicaraan semula dan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atasnya dan seorang lagi bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar pada 2015.

Sirul melarikan diri ke Australia apabila Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tertuduh itu pada tahun 2013 dan kini berada di sebuah pusat tahanan imigresen di Sydney. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS