Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pencemaran air Sg Semenyih: S'gor mahu saman
Diterbitkan:  Dec 23, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Kerajaan Negeri Selangor bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkaitan dengan isu gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Besar Selangor juga memberitahu beberapa langkah sementara akan diambil bagi menangani gangguan bekalan air di empat daerah.

"Satu mesyuarat tergempar telah diadakan pada jam 11 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat terkini dalam menangani isu gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih."

"Kerajaan negeri juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkenaan," katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Pengurusan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor, Hee Loy Sian.

Terdahulu, Loji rawatan air di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dilapor masih ditutup sehingga bacaan pencemaran bau turun kepada sifar TON (ukuran kadar bau).

Berdasarkan pemantauan sampel air, Pengurusan Air Selangor berkata bacaan pencemaran mencapai dua TON setakat jam 6 pagi tadi.

Pencemaran itu menyebabkan gangguan bekalan air kepada 336,930 pengguna di empat daerah di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Menurut pejabat menteri besar,  beberapa langkah telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan dengan kadar segera.

"Untuk mencairkan pencemaran pelarut yang masih ada dalam Sungai Semenyih, air dari kolam Tasik Idaman Sg Buah akan disedut untuk dialirkan ke dalam Sungai Semenyih serta melepaskan air dari Empangan Semenyih ke Sungai Semenyih,"jelasnya.

Pejabat menteri besar juga menjelaskan bahawa air yang tidak terkesan dengan pencemaran dari Loji Rawatan Air Langat 2 akan dibekalkan kepada terminal simpanan air di Bangi.

"Ini bakal melegakan buat sementara sekitar 55,564 akaun melibatkan 104 kawasan di sekitar Hulu Langat.

"Lori-lori tangki air sebanyak 70 buah serta 16 buah lori tangki jumbo telah turut kawasan yang terkesan akibat gangguan bekalan air. Kesemua tindakan ini adalah sementara sebelum pencemaran pencemaran bau dapat dipulihkan sepenuhnya," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS