Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maqis Pulau Pinang rampas sosej babi yang dibawa pelancong Sweden

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas sosej babi sejuk beku seberat 10 kilogram (kg) yang dibawa masuk seorang lelaki warga Sweden di laluan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Georgetown, semalam.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata lelaki berusia 30-an itu yang tiba dengan penerbangan dari Qatar ditahan kira-kira pukul 2.30 petang dan pemeriksaan mendapati dia membawa bungkusan sosej babi tanpa permit import (IP) daripada Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.

"Larangan pengimportan daging babi dan produk yang berasaskan babi ke negara ini termasuk melalui pengangkutan udara adalah dilarang sama sekali bagi melindungi Malaysia daripada virus penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang amat mudah merebak walaupun dengan kuantiti sangat sedikit.

"Antara produk-produk yang diklasifikasikan sebagai pembawa virus ASF adalah babi hidup, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan apa-apa jenis produk babi yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Zarina berkata Maqis Pulau Pinang turut menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 40 tahun kerana membawa masuk tempurung kelapa seberat 5kg tanpa IP dan sijil fitosanitasi dipercayai untuk tujuan membuat barangan hiasan di laluan penumpang LTAPP pukul 4.50 petang, 30 Okt lalu.

"Perbuatan mengimport sosej babi dan tempurung kelapa tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi kesalahan menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," tambahnya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kemasukan keluaran pertanian atau haiwan ke dalam negara adalah terkawal dan bebas daripada sebarang ancaman penyakit serta serangga perosak selain memastikan ianya adalah selamat untuk kegunaan dalam negara.


-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS