Satu lagi acara membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular dianjurkan.
Ia dianjurkan pada 29 Disember, sehari sehari selepas Kongres Organisasi Cina oleh kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong di Kajang, Selangor.
Sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) hari ini mengumumkan acara itu, yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Walaupun menolak pengajian Jawi di sekolah Cina dan India, mereka menamakan acara itu Kongres Jawi Kebangsaan.
Setiausaha Sekat Arun Doraisamy dalam sidang media di Kuala Lumpur berkata mereka mahu mendesak Kementerian Pendidikan membincangkan semula keputusan itu.
“Kembali ke meja perbincangan dan kali ini patut melibatkan pelbagai wakil daripada masyarakat Cina, India, Melayu, Sabah dan Sarawak,” kata Arun.
Katanya, kongres itu juga akan meneroka pelbagai isu berkaitan Jawi kerana ramai yang tidak memahaminya.
Arun berkata, Sekat yang selari dengan dengan kongres anjuran Dong Jiao Zong, adalah sebuah acara melibatkan pelbagai kaum.
Mereka menjangkakan 400 orang hadir dalam acara itu. Menteri Pendidikan Maszlee Malik turut diundang.