Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC ingatkan Ramli jangan jadi kacang lupakan kulit
Diterbitkan:  Dec 22, 2019 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Seorang pemimpin MIC mengkritik tindakan Anggota Parlimen Cameron Highlands yang bersetuju dengan keputusan mengusir hampir 60 pekebun di Kuala Terlah tanpa menyediakan tanah alternatif.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Rajasekaran berkata Ramli Mohd Nor sepatutnya sedar akan tanggungjawabnya kepada pengundi Cameron Highlands dan bukan berlagak sebagai "orang suruhan bagi pihak tertentu".

"Jangan berlagak seperti kacang lupakan kulit, lupa kepada beratus ahli-ahli MIC yang bekerja bertungkus-lumus untuk kejayaan YB (di PRK Cameron Highlands)

"Jangan lupa bahawa kerusi ini telah dipinjamkan oleh MIC pada suatu masa yang getir di dalam sejarah BN. Jika bukan pengorbanan MIC untuk meminjamkan kerusi tradisinya untuk mencapai suatu kemenangan kepada BN, sudah tentu Ramli mungkin dikenali sebagai seorang anggota polis yang telah berpencen sahaja," kata RT Rajasekaran dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ramli (gambar) semalam yang menyokong keputusan Jawatankuasa Khas Pemulihan Cameron Highlands agar 60 pekebun di Kuala Terlah mengosongkan tanah mereka atas alasan berlaku pencemaran bahan kimia dalam punca air untuk kegunaan penduduk setempat.

Ramli berkata, kesihatan dan keselamatan masyarakat Cameron Highlands lebih utama berbanding kepentingan pekebun berkenaan.

Bagaimanapun, Rajasekaran yang juga pengerusi Biro Bantuan Guaman MIC Kebangsaan menyifatkan kenyataan Ramli sebagai tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.

"Kenyataan Ramli amat mengecewakan memandangkan beliau tidak pergi berjumpa dengan pekebun-pekebun sebelum keputusan Jawatankuasa Khas dibuat.

"Setahu saya, pengundi-pengundi di Cameron Highlands yang melantik beliau, masih menunggu ahli parlimen mereka untuk datang berjumpa dengan mereka untuk menyelesaikan isu-isu mereka," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Pahang tidak menyediakan tanah alternatif bagi menggantikan kebun berkenaan yang telah diusahakan selama lebih 40 tahun.

"Agak aneh bagi kerajaan negeri Pahang yang masih memberi tanah-tanah baru untuk pertanian kepada pekebun-pekebun yang baru berhijrah ke Cameron Highlands tetapi tidak memberi sebarang tanah alternatif kepada pekebun-pekebun yang telah berkerja di tanah di Kuala Terlah," katanya menambah majoriti pekebun berkenaan terdiri daripada kaum India.

Sementara itu, Rajasekaran berkata Jawatankuasa Khas Pemulihan Cameron Highlands membuat keputusan tanpa memanggil mana-mana pekebun untuk mendengar penjelasan mereka.

"Keputusan Jawatankuasa Khas Pemulihan ini adalah tidak adil dan telah dibuat secara melulu dan sesungguhnya tidak bernas dan tidak bertanggungjawab.

"Keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa ini seharusnya diketepikan secara mutlak memandangkan tiada apa-apa cadangan diberi untuk menyelesaikan isu pekebun-pekebun tersebut," katanya.

Jawatankuasa Khas Pemulihan Cameron Highlands dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS