Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri: Proses ambil alih tapak Highland Towers lulus 8 Januari
Diterbitkan:  Dec 22, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kerajaan Selangor akan memberi kelulusan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengambil alih tapak Highlands Towers bagi tujuan pembangunan semula, pada 8 Januari.

Beliau yang merupakan menteri KPKT berkata, perkara itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada tarikh tersebut dan diluluskan pada hari sama.

“Pada Isnin lepas saya jumpa menteri besar (Amirudin Shari) dan menteri besar akan membawa kes Highland Towers pada 8 Jan dalam mesyuarat MTES dan akan diluluskan 8 Januari ini juga,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today hari ini.

Zuraida berkata lagi, kementeriannya kini hanya memerlukan kelulusan Menteri Besar Amirudin Shari bagi memulakan pembangunan semula kawasan itu.

Pada 15 Disember lalu, Amirudin berkata pihaknya ada menerima surat daripada KPKT mengenai isu tersebut pada November lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak dapat diselesaikan pada tahun ini kerana kerajaan negeri perlu meneliti beberapa dokumen berkaitan.

Zuraida berkata pada Ogos lalu pihaknya mencadangkan agar kawasan Highland Towers yang terbiar sekian lama dibangunkan semula menjadi taman rekreasi, ekoran struktur tanah yang tidak sesuai untuk pembinaan rumah.

Tragedi Highland Towers yang berlaku pada 11 Disember 1993 menyaksikan satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dan meragut 48 nyawa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS