Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump anggap langkah tangguh artikel pemecatan ke Senat 'tak adil'
Diterbitkan:  Dec 22, 2019 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

GLOBAL | Presiden Amerika Syarikat Donald Trump Sabtu lalu mengkritik Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi kerana menangguhkan penghantaran artikel pemecatan terhadapnya ke Senat.

"Ini sangat tidak adil...Mereka melanggar Perlembagaan," katanya seperti dipetik Reuters, hari ini.

Trump berkata demikian ketika berucap di acara kumpulan pelajar konservatif Turning Point USA, dan mengatakan Pelosi menggunakan strategi itu kerana dia "tidak ada kes".

Pada 18 Disember lalu, Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokrat membuat undian untuk memecat Trump, memulakan langkah untuk perbicaraan di peringkat Senat.

Andai satu daripada dua artikel itu diluluskan, Trump akan menjadi presiden ketiga dalam sejarah Amerika Syarikat yang dicabar secara rasmi dan menghadapi perbicaraan di Senat.

Bagaimanapun ia dijangka tidak akan berlaku memandangkan Senat dikuasai partinya, iaitu Republikan.

Artikel itu memerlukan sokongan dua pertiga sokongan anggota Senat, yang merangkumi 53 anggota Republikan, 45 Demokrat dan dua bebas.

Terdahulu, Demokrat menuduh Trump menyalahgunakan kedudukannya untuk menekan Ukraine - dengan menyekat AS$391 juta bantuan keselamatan kepada negara itu - untuk Ukraine menjalankan siasatan terhadap bekas naib presiden AS Joe Biden, yang memberi manfaat kepadanya untuk pilihan raya presiden tahun depan.

Rumah Putih enggan bekerjasama dalam siasatan terhadap Trump, dengan menuduh apa yang dilakukan Demokrat itu - yang menurutnya sebagai usaha membatalkan keputusan pilihan raya 2016 - sebagai tidak adil.

Nancy Pelosi

Menurut Reuters lagi, Pelosi belum menghantar artikel pemecatan kepada Senat bagi meningkatkan tekanan kepada anggotanya dari kalangan Republikan.

Pelosi juga belum mengumumkan pengurus atau pendakwa yang akan mengemukakan bukti ketika perbicaraan.

"Sehingga Dewan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang perbicaraan di peringkat Senat, Speaker bukan dalam kedudukan untuk melantik pengurus dan mengambil langkah seterusnya dalam mempertanggungjawabkan presiden dan memastikan Senat memenuhi tugas perlembagaannya," kata pejabat Pelosi kata dalam kenyataan, seperti dipetik.

Pejabat Pelosi berkata senator mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk menjalankan "proses yang adil kepada senator, yang akan bertindak sebagai juri, dan juga kepada orang awam dengan peluang untuk memahami sepenuhnya penyalahgunaan kuasa Presiden Trump."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS