Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kereta kabel kandas, 150 pengunjung terperangkap di Bukit Bendera

Lebih 150 pengunjung di Bukit Bendera, di Pulau Pinang terjejas apabila perkhidmatan kereta api funikular di pusat pelancongan itu tergendala lebih dua jam, sejak 8 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan Perbadanan Bukit Bendera (PHC) pukul 8.26 malam tadi, memaklumkan terdapat penumpang terkandas, berikutan masalah perkhidmatan kereta api funikular (kabel).

"Kami terima panggilan dari pengurusan PHC memaklumkan seramai 150 orang terperangkap di stesen pertengahan Bukit Bendera, kerana kereta api terkandas dan berikutan itu, sepasukan pegawai serta anggota jentera menjalankan operasi membawa turun mangsa," katanya di George Town malam tadi.

Beliau berkata setakat pukul 10 malam ini operasi membawa turun mangsa masih dijalankan, dengan sebahagian daripada mereka berjalan kaki menggunakan laluan trek kereta api funikular untuk ke stesen bawah.

Seorang pengunjung yang terkandas, Mohammad Faizal Mohd Fauzi, 37, berkata beliau dan isteri serta dua anak lelakinya berusia 10 dan lapan tahun terpaksa menggunakan anak tangga di laluan trek kereta api itu untuk turun ke stesen bawah.

Katanya beliau sekeluarga yang datang bercuti ke Pulau Pinang sejak semalam naik ke Bukit Bendera sejak pagi tadi, sebelum bersiar-siar di situ dan hanya dimaklumkan perkhidmatan kereta api funikular itu mengalami masalah oleh pihak pengurusan PHC ketika mahu turun.

"Kami bersama puluhan penumpang lain dengan bantuan pihak bomba, turun menggunakan tangga di trek itu, laluan tersebut sedikit gelap tapi nasib baik ada anggota bomba membantu. Alhamdulillah selepas lebih setengah jam berjalan, kami sampai (di bawah)," katanya.

Sebahagian lagi pengunjung terutama warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dibawa turun menggunakan jip serta pacuan empat roda.

Sementara itu PHC dalam satu kenyataan berkata, pihak PHC memohon maaf atas kesulitan yang dialami akibat kereta api funikular tersebut tergendala akibat masalah kerosakan sistem.

“Pasukan operasi funukular PHC sedang bekerja keras bagi mengatasi masalah ini. Pada masa ini, kami membawa pelawat turun bukit menggunakan perkhidmatan jeep. PHC juga sedang menguruskan lebih banyak kenderaan untuk membawa pengunjung turun daripada puncak bukit secepat mungkin,” menurut kenyataan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS