Polis Kelantan mengesahkan banjir yang melanda negeri berkenaan telah mengorbankan lima nyawa, setakat ini.
Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata banjir gelombang pertama telah mengorbankan tiga mangsa manakala dua lagi mangsa terkorban ketika banjir gelombang kedua yang sedang melanda negeri ketika ini.
Beliau berkata mangsa pada gelombang kedua adalah seorang warga emas berusia 57 tahun di Jeli manakala terbaharu membabitkan seorang pemuda berusia 24 tahun di Tumpat, semalam.
"Setakat ini siasatan mendapati semua kematian adalah disebabkan lemas air dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Kebanyakan kes adalah disebabkan mangsa mengharungi air," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kemas Motivasi Anak-Anak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu hari ini.
Beliau turut menasihati penduduk terutama di kawasan yang mudah dinaiki air supaya sentiasa berhati-hati berikutan terdapat kemungkinan banjir gelombang ketiga pula akan berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata pasukan keselamatan turut berdepan situasi rumit apabila ada mangsa enggan berpindah dan memberi pelbagai alasan.
"Walau apapun alasan yang diberikan oleh penghuni itu adalah hak mereka, tetapi sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan, ia akan menyusahkan pasukan penyelamat serta diri sendiri.
"Seeloknya berpindahlah lebih awal atas faktor keselamatan dan jangan bertindak di saat-saat akhir," katanya.
Mengulas mengenai penempatan anggota di balai polis di kawasan berdekatan Sungai Golok, beliau berkata setakat ini hanya dua balai iaitu Balai Polis Rantau Panjang, Pasir Mas dan Balai Polis Kuala Jambu, Tumpat sahaja yang dinaiki air.
Katanya walaupun balai polis itu dinaiki air paras betis namun ia masih beroperasi manakala anggota di situ masih bertugas dan orang ramai yang ingin membuat urusan dinasihatkan untuk mengunjungi balai polis terdekat.
- Bernama