Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi gesaan hukuman lebih berat kes kemalangan akibat mabuk
Diterbitkan:  Dec 21, 2019 1:48 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Lagi gesaan agar kerajaan menetapkan hukuman lebih berat terhadap individu yang menyebabkan kemalangan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Pemuda Amanah Hasnul Zulkarnain berkata hukuman yang ada pada masa ini tidak memadai dan perlu dikaji semula.

"Kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk ini semakin membimbangkan. Hukuman yang dikenakan pula adalah penjara mandatori antara 3 hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000 meskipun kes melibatkan mangsa meninggal dunia.

"Justeru, satu kajian semula perlu dibuat bagi menilai peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pemandu mabuk. Antaranya adalah peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan melihat kepada hukuman yang lebih berat terhadap pesalah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasnul yang juga adun Titi Serong itu merujuk dua kes kemalangan maut yang mengaitkan pemandu mabuk, pertama berhubung kematian pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mohaidin Gani Mohamad pada 25 Oktober lalu.

Pada 29 Oktober lalu, Liu Shasha, warga China berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pekerja MBPP itu.

Kes kedua pula melibatkan kemalangan yang meragut nyawa penerbit sambilan Mohd Hezle Mohd Helan, serta menyebabkan anak lelakinya cedera parah, setelah dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, dipercayai dipandu seorang lelaki disyaki mabuk, di Petaling Jaya pada awal pagi Rabu lalu.

Menurut Berita Harian yang memetik abang mangsa, difahamkan kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda tersebut hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan, sebelum merempuh kereta adiknya.

Pada 27 Oktober lalu, Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid turut menggesa hukuman terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan akibat memandu ketika mabuk ditingkatkan susulan kematian Mohaidin.

Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin pula mencadangkan kerajaan memperkenalkan had waktu untuk pengambilan minuman keras di beberapa kawasan terpilih, bagi mengurangkan kes seumpama itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS