Kerajaan India menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan undang-undang baru kewarganegaraan negara itu, yang disifatkannya sebagai tidak tepat.
Justeru India menggesa Malaysia agar tidak lagi mengulas soal dalaman negara itu, terutama tanpa "pemahaman yang betul tentang fakta" isu tersebut.
Semalam, Mahathir mempersoalkan undang-undang tersebut dan berkata kerajaan India menafikan kewarganegaraan kepada orang Islam.
“...Saya kecewa melihat India yang mengaku sebagai negara sekular, kini mengambil tindakan menafikan kewarganegaraan sesetengah orang Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Bagaimanapun Kementerian Hal Ehwal Luar berkata akta itu tidak memberi kesan kepada status mana-mana penduduk India.
"Menurut laporan media, perdana menteri Malaysia sekali lagi memberi kenyataan berkenaan soal dalaman India.
"Akta Pindaan Kewarganegaraan memberikan kerakyatan menerusi naturalisasi dipercepatkan untuk golongan minoriti yang ditindas di tiga negara.
"Kami menggesa Malaysia agar tidak mengulas perkembangan dalaman di India, terutama tanpa pemahaman yang betul terhadap faktanya," kata kementerian itu dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya hari ini.
Undang-undang baru kewarganegaraan itu bertujuan memberikan kewarganegaan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.
Kerajaan pimpinan perdana menteri Narendra Modi berkata undang-undang baru itu akan menyelamatkan golongan minoriti agama seperti Hindu dan Kristian daripada penindasan di negara jiran Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan, dengan meawarkan laluan kewarganegaraan India kepada mereka.
Tetapi pengkritik berkata undang-undang itu, yang tidak memberi peruntukan serupa kepada orang Islam, melemahkan asas sekular India.